Antarabangsa
Wanita Yaman naik unta selama tujuh jam untuk bersalin di hospital
Seorang wanita terpaksa menaiki unta selama tujuh jam perjalanan kerana mahu ke hospital untuk melahirkan anak di Yaman.

- Mona, 19, terpaksa menaiki unta selama tujuh jam perjalanan kerana mahu ke hospital untuk melahirkan anak di Yaman.
- Di wilayah Mahweet, barat laut Yaman, hospital Bani Saad adalah satu-satunya kemudahan kesihatan yang masih beroperasi.
- Dari rumah Mona di kampung Al-Maaqara, kemudahan itu hanya boleh diakses menggunakan unta atau berjalan kaki.
- Sistem penjagaan kesihatan di negara itu telah lumpuh sejak sebelum perang.
- Konflik yang berlaku mengakibatkan sistem kesihatan semakin sukar diakses.
Seorang wanita terpaksa menaiki unta selama tujuh jam perjalanan kerana mahu ke hospital untuk melahirkan anak di Yaman.
Mona, 19, terpaksa berbuat demikian kerana jarak rumahnya yang terletak di bukit berbatu ke satu-satunya hospital terdekat ialah sejauh 40 kilometer.
Kebiasaannya, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira empat jam, namun ia menjadi lebih lama sehingga tujuh jam mengambil kira faktor ketiadaan jalan raya dan cuaca buruk serta sedang menanggung sakit bersalin.
“Setiap langkah unta itu, saya menjadi semakin terseksa,” katanya.
Apabila unta itu tidak dapat pergi lebih jauh, Mona turun dan meneruskan baki perjalanan dengan berjalan kaki bersama suaminya.
Di wilayah Mahweet, barat laut Yaman, hospital Bani Saad adalah satu-satunya kemudahan kesihatan yang masih beroperasi.
Dari rumah Mona di kampung Al-Maaqara, kemudahan itu hanya boleh diakses menggunakan unta atau berjalan kaki.
“Ada ketikanya saya berdoa agar Tuhan mengambil nyawa saya dan melindungi bayi saya agar saya dapat menamatkan kesakitan saya,” katanya.
Mona tidak ingat yang dia telah tiba di hospital itu, namun hanya mengingati saat mendengar tangisan bayinya yang selamat dilahirkan di tangan bidan dan pakar bedah.
Jalan ke hospital dari kampung berhampiran adalah sempit.
Ada yang hancur atau disekat akibat perang lapan tahun antara pasukan pro-kerajaan yang disokong pakatan diketuai Saudi dan gerakan pemberontak Houthi disokong Iran.
Sesetengah keluarga boleh membayar kos hospital tetapi tidak mempunyai sumber kewangan untuk ke sana.
Menurut Hicham Nahro dari Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di Yaman, seorang wanita meninggal dunia setiap dua jam ketika bersalin atas sebab yang boleh dicegah.
Hichan berkata selalunya wanita di kawasan terpencil Yaman tidak menjalani pemeriksaan berkala atau mendapatkan bantuan melainkan mereka mula mengalami pendarahan atau kesakitan yang teruk.
Selain itu, kurang daripada separuh kelahiran dibantu doktor mahir dan hanya satu pertiga daripada kelahiran berlaku di kemudahan kesihatan.
Sistem penjagaan kesihatan di negara itu telah lumpuh sejak sebelum perang.
Konflik itu bagaimanapun meluaskan kerosakan ke hospital dan jalan raya, menjadikan sistem kesihatan semakin sukar diakses.
Hospital kekurangan kakitangan yang berkelayakan, peralatan dan ubat-ubatan, manakala pelaburan dalam jalan raya dan infrastruktur telah terhenti.
Sumber: BBC
