Antarabangsa
Wakil PBB akan bertemu pihak bertelagah di Sudan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan pihak bertelagah di Sudan dalam usaha mendapatkan jaminan awam untuk laluan selamat bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan pihak bertelagah di Sudan dalam usaha mendapatkan jaminan awam untuk laluan selamat bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
- Bercakap kepada REUTERS dari Jeddah, Arab Saudi, Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths, berkata pihaknya berharap pertemuan itu dapat diadakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, sama ada di Khartoum, Sudan atau mana-mana lokasi lain.
- Sehubungan itu, katanya, Ketua Tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan Komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti sudah dihubungi dari Pelabuhan Sudan semalam, untuk menjelaskan mengenai keperluan koridor bantuan khusus serta operasi pengangkutan udara.
KAHERAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap dapat mengadakan pertemuan dengan pihak bertelagah di Sudan dalam usaha mendapatkan jaminan awam untuk laluan selamat bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Bercakap kepada REUTERS dari Jeddah, Arab Saudi, Ketua Bantuan PBB, Martin Griffiths, berkata pihaknya berharap pertemuan itu dapat diadakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi, sama ada di Khartoum, Sudan atau mana-mana lokasi lain.
Sehubungan itu, katanya, Ketua Tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan Komander RSF, Mohamed Hamdan Dagalo atau lebih dikenali sebagai Hemedti sudah dihubungi dari Pelabuhan Sudan semalam, untuk menjelaskan mengenai keperluan koridor bantuan khusus serta operasi pengangkutan udara.
Beliau bagaimanapun berharap dapat bertemu Burhan dan Hemedti atau ‘delegasi diberi kuasa yang boleh menandatangani piagam khusus yang akan dibentang kepada mereka’ demi menjamin misi agihan bantuan.
“Keperluan operasi kami sangat jelas iaitu komitmen daripada mereka. Terdapat keperluan bagi dua laluan, masing-masing di Wad Madani di tenggara Khartoum dan dari Chad ke Darfur.
“Pertemuan secara fizikal bagi membincangkan perkara ini penting kerana kita kebertanggungjawaban mereka,” katanya sambil menambah pihaknya kini sedang menetapkan tarikh dan lokasi pertemuan.
Ditanya bila pertemuan itu akan berlangsung, beliau hanya berharap ia dapat diadakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.
PBB sebelum ini, memberi amaran pertempuran antara angkatan tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berisiko menyebabkan malapetaka kemanusiaan dan boleh merebak ke negara lain, selain beberapa kakitangan pertubuhan itu maut akibat keganasan yang meletus pada 15 April lalu.
Agensi bantuan PBB itu masih berusaha mendapatkan jaminan terperinci berhubung laluan selamat untuk mengedarkan bantuan ke Khartoum, Darfur dan kawasan lain, biarpun beberapa bantuan sudah dihantar ke Pelabuhan Sudan, sebelum ini.
Hampir satu pertiga daripada 46 juta rakyat Sudan memerlukan bantuan sebelum konflik semasa tercetus, selain pertempuran terkini menyebabkan ratusan ribu warganya kehilangan rumah, terutama dari Dafur di barat Sudan, manakala lebih 100,000 lagi melarikan diri merentasi sempadan negara itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, ketika bercakap kepada AFP di Nairobi, Kenya, semalam, mengakui ‘gagal menghentikan’ perang di Sudan, selain menegaskan pertempuran berterusan akan menjejaskan usaha mengadakan gencatan senjata serta berharap rundingan damai dapat dilaksanakan.
“PBB dan banyak pihak lain tak menjangkakan perkara ini akan berlaku. Boleh dikatakan kami (PBB) gagal mengelak ia daripada berlaku. Sudan sudah banyak menderita, mereka tidak mampu berdepan perebutan kuasa antara dua pihak,” katanya.
Kementerian Kesihatan menerusi angka terkini membabitkan pertempuran itu mencatatkan sekurang-kurangnya 550 maut, manakala 4,926 lagi cedera. – AGENSI
Sumber: Sumber Harian