Antarabangsa
Umat Islam AS terus bergelut menentang Islamofobia
Satu laporan baharu memberi penerangan tentang kesusahan dihadapi umat Islam Amerika akibat Islamofobia di negara itu.

- Satu laporan baharu memberi penerangan tentang kesusahan dihadapi umat Islam Amerika akibat Islamofobia di negara itu.
- Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengeluarkan laporan menyenaraikan beberapa siri insiden anti-Islam yang menyasarkan individu dan masjid.
- Laporan itu diumumkan pada minggu lalu.
- Salah satu insiden disebut dalam laporan itu ialah tuntutan CAIR terhadap Alaska Airlines bagi pihak dua lelaki Islam.
- Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu dikeluarkan dari penerbangan mereka pada 2020 kerana berkomunikasi dalam bahasa Arab.
Rabat – Satu laporan baharu memberi penerangan tentang kesusahan dihadapi umat Islam Amerika akibat Islamofobia di negara itu.
Minggu lalu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengeluarkan laporan yang menyenaraikan beberapa siri insiden anti-Islam yang menyasarkan individu dan masjid.
Menurut laporan Morocco World News, salah satu insiden disebut dalam laporan itu ialah tuntutan CAIR terhadap Alaska Airlines bagi pihak dua lelaki Islam.
Sebelum ini, kedua-dua lelaki itu dikeluarkan dari penerbangan mereka pada 2020 kerana berkomunikasi dalam bahasa Arab.
“Tuntutan itu dibuat selepas syarikat penerbangan itu melakukan semakan dalaman terhadap kejadian itu dan mereka tidak pernah membuat susulan lanjut mengenai kedua-dua lelaki itu.
“Kedua-dua lelaki itu diarah keluar dari pesawat selepas penumpang lain membangkitkan kebimbangan mengenai mesej teks bahasa Arab mereka,” kata laporan itu.
Syarikat penerbangan itu juga didakwa membuatkan lelaki-lelaki itu menjalani pemeriksaan lapangan terbang berikutan penyingkiran mereka daripada penerbangan pertama dan meletakkan mereka dalam “penerbangan berasingan beberapa jam kemudian”.
Dalam pada itu, laporan itu juga menyenaraikan perbuatan Islamofobia di tempat ibadat, termasuk yang berlaku di Iowa.
Kamera keselamatan di pusat komuniti juga merakam seorang wanita menggunakan salji untuk melukis tanda salib di kemudahan Muslim itu.
Dia juga menggunakan bahan yang tidak dikenali untuk menulis penghinaan yang ditujukan kepada Islam dan umat Islam.
Seorang pelajar Islam di AS juga menghadapi isu diskriminasi lain oleh kerana Islamofobia meluas yang membuatkan dirinya dibuli.
Laporan itu mengenalpasti kes di Delaware, di mana seorang guru membuat seorang pelajar berasa tidak selesa kerana memakai tudung buat kali pertama pada bulan Ramadan.
Pelajar sekolah menengah itu memberitahu TV tempatan, WPVI bahawa guru itu memberitahu dia terlalu ‘kurus’ untuk berpuasa.
Jika dia berpuasa lagi, guru itu tidak akan dapat melihatnya di dalam kelas.
Mangsa juga melaporkan kanak-kanak lain turut ketawa kepadanya semasa insiden tersebut.
Selain itu, seorang lagi guru di sekolah yang sama memanggilnya ‘Sub-Zero’.
Guru tersebut mendakwa tudung itu menjadikannya kelihatan seperti ‘Sub-Zero’ yang merujuk kepada watak permainan video memakai pakaian ninja.
Beberapa laporan turut menjelaskan tentang kegigihan cabaran diskriminasi yang menjejaskan kehidupan umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Kanada.
Sumber: Morocco World News
