Antarabangsa
Turkiye selar Charlie Hebdo siar kartun hina Erdogan
Turkiye mengecam kartun muka depan majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Presiden Recep Tayyip Erdogan berikutan pilihan raya presiden dan parlimen negara itu pada 14 Mei lalu.
- Turkiye mengecam tindakan majalah Perancis, Charlie Hebdo kerana menghina Presiden Erdogan selepas pilihan raya presiden dan parlimen negara itu pada 14 Mei lalu.
- Pengarah Komunikasinya, Fahrettin Altun berkata tindakan itu merupakan satu lagi cubaan provokasi, penghinaan dan perlakuan tidak senonoh media global.
- Penerbitan jelek Charlie Hebdo itu sekali lagi membuktikan kepada dunia betapa jijik perbuatan majalah Perancis itu.
- Terkini Charlie Hebdo menerbitkan kartun Erdogan di dalam tab mandi, merujuk kepada penyanyi popular Claude François (Cloclo) pada 1978 yang mati akibat renjatan elektrik semasa beliau sedang mandi dengan tulisan: “sepertimana Cloclo, hanya takdir yang akan menyingkirkannya”.
Turkiye mengecam kartun muka depan majalah Perancis, Charlie Hebdo yang menghina Presiden Recep Tayyip Erdogan berikutan pilihan raya presiden dan parlimen negara itu pada 14 Mei lalu.
Pengarah Komunikasinya, Fahrettin Altun pada Rabu berkata “karikatur tidak bermoral dan berperikemanusiaan presiden kami dari Charlie Hebdo” baru-baru ini adalah satu lagi cubaan provokasi, penghinaan dan perlakuan tidak senonoh media global.
“Penerbitan jelek Charlie Hebdo sekali lagi membuktikan kepada dunia betapa jijiknya mereka, dengan karikatur terkini tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan berkenaan presiden kami,” katanya.
Altun berkata, nampaknya “kejayaan besar” Erdogan dalam pilihan raya 14 Mei lalu “membuat mereka yang hilang kehormatannya ini tidak lena tidur, kesakitan mereka merebak, sehingga memuntahkan dendam serta kebencian mereka”.
Altun berkata kepada majalah itu: “Tidak kira apa sahaja yang kamu lakukan, kamu tidak akan menakutkan Recep Tayyip Erdogan. Kamu tidak akan memalingkan kami dari jalan kami”.
Kenyataannya dibuat selepas Charlie Hebdo meletakkan kartun Erdogan di dalam tab mandi sebagai muka depannya, merujuk kepada penyanyi popular Claude François (Cloclo) pada 1978 yang mati akibat renjatan elektrik semasa beliau sedang mandi dengan tulisan, “sepertimana Cloclo, hanya takdir yang akan menyingkirkannya”.
Menggelar majalah itu “kain buruk”, Jurucakap Presiden, Ibrahim Kalin juga menyelar majalah itu dengan mengatakan ia “sudah terlalu gila,” dan dengan adanya karikatur dari mereka bermakna Turkiye berada “di landasan yang betul”.
Charlie Hebdo sebelum ini mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman kerana melukis kartun Nabi Muhammad saw, manakala awal tahun ini mereka meremehkan mangsa gempa bumi Turkiye pada 6 Februari lalu yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa.
Sumber: TRT World