Terkini
Tarik balik rayuan kes kalimah Allah, kerajaan tidak hormati institusi lebih tinggi – PEMBELA
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah tindakan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menarik semula rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.
- Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah tindakan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menarik semula rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.
- PEMBELA menyifatkan tindakan itu melampau dan tidak menghormati institusi lebih tinggi dari cabang eksekutif negara serta boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam negara.
- Setiausaha Agung PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias berkata tindakan itu dibuat secara unilateral oleh kerajaan Madani di bawah PMX tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh utama berkenaan isu melibatkan Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak-pihak berkepentingan Islam di dalam negara.
- PEMBELA menggesa semua Ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan dan pembangkang memberi tekanan supaya tindakan unilateral yang tidak menghormati agama Islam, Perlembagaan dan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya, ditarik semula.
KUALA LUMPUR — Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) membantah tindakan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menarik semula rayuan terhadap kes kalimah Allah di mahkamah.
PEMBELA, yang mewakili lebih 70 Gabungan NGO (badan bukan kerajaan) dan NGO-NGO Islam dalam kenyataannya hari ini, menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan tidak menghormati institusi lebih tinggi dari cabang eksekutif negara serta boleh mencetuskan keadaan tidak baik dalam negara.
Setiausaha Agung PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias berkata tindakan itu dibuat secara unilateral oleh kerajaan Madani di bawah PMX tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh utama berkenaan isu melibatkan Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan pihak-pihak berkepentingan Islam di dalam negara.
“PEMBELA mengambil pendirian, tindakan PMX dan Kerajaan Madani ini satu tindakan melampau terbesar dan biadab dalam era pemerintahan yang tidak memperdulikan hak dan kesucian agama Islam sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan serta tidak menjaga kepentingan majoriti umat Islam di negara ini.
“PEMBELA juga ingin merakamkan kekesalan dengan peranan yang gagal dimainkan Ahli-Ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan Kerajaan Madani ini untuk membantah serta menghalang tindakan Unilateral ini,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan di Facebook (FB) di sini hari ini.
Dalam hantaran di FB itu, PEMBELA turut memuat naik notis pemberhentian rayuan yang menamakan Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kerajaan Malaysia terhadap responden, Jill Ireland Binti Lawrence Bill.
Notis bertarikh 18 April itu menyatakan perayu yang dinamakan tidak berniat untuk meneruskan Notis Rayuan difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Notis itu ditandatangani Peguam Kanan Persekutuan bagi pihak perayu dan Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co. sebagai peguam cara responden.
Sehubungan itu, PEMBELA menggesa semua Ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan dan pembangkang memberi tekanan sewajarnya supaya tindakan unilateral tidak menghormati agama Islam, Perlembagaan dan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memeliharanya, ditarik semula.
PEMBELA berkata kegagalan semua Ahli Parlimen Islam menggesa Perdana Menteri mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu, harus dianggap sebagai kegagalan utama mereka dalam mempertahankan agama negara.
“Ia harus disusuli dengan tindakan-tindakan wajar sebagaimana yang harus dilakukan pihak yang gagal menjalankan tugas seperti mana diamanahkan.
“PEMBELA akan menggerakkan bantahan di peringkat NGO dan rakyat. PMX wajib arahkan Peguam Negara menarik balik pembatalan rayuan kes kalimah Allah ini,” katanya.
Isu itu bermula beberapa belas tahun lalu apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian.
Susulan itu, sekitar Mac 2021, kerajaan dan KDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam – PEMBELA