Antarabangsa
RM4.3 billion diperuntuk Zionis perluas penempatan haram Yahudi di Palestin
Parlimen Israel, Knesset semalam meluluskan belanjawan negara baharu untuk dua tahun akan datang, termasuk melabur 3.5 bilion shekel (RM4.3 bilion) bagi memperluaskan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.

- Parlimen Israel, Knesset semalam meluluskan belanjawan negara baharu untuk dua tahun akan datang, termasuk melabur 3.5 bilion shekel (RM4.3 bilion) bagi memperluaskan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.
- Majoriti dana akan disalurkan ke arah menurap jalan baharu dan menambah baik jalan sedia ada, termasuk lebuh raya untuk memintas kawasan Palestin yang mengasingkan lagi peneroka haram Israel dan Palestin, lapor Times of Israel.
- Ratusan juta shekel juga diperuntukkan untuk meluluskan penempatan haram yang tidak pernah mendapat kebenaran kerajaan.
- Jumlah dana daripada bajet yang diperuntukkan untuk menaik taraf dan membuka jalan baharu di Tebing Barat yang diduduki telah dipersetujui antara Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich dan Menteri Pengangkutan Miri Regev.
TEL AVIV, 6 Zulkaedah 1444H, Jumaat – Parlimen Israel, Knesset semalam meluluskan belanjawan negara baharu untuk dua tahun akan datang, termasuk melabur 3.5 bilion shekel (RM4.3 bilion) bagi memperluaskan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Majoriti dana akan disalurkan ke arah menurap jalan baharu dan menambah baik jalan sedia ada, termasuk lebuh raya untuk memintas kawasan Palestin yang mengasingkan lagi peneroka haram Israel dan Palestin, lapor Times of Israel.
Ratusan juta shekel juga diperuntukkan untuk meluluskan penempatan haram yang tidak pernah mendapat kebenaran kerajaan.
Jumlah dana daripada bajet yang diperuntukkan untuk menaik taraf dan membuka jalan baharu di Tebing Barat yang diduduki telah dipersetujui antara Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich dan Menteri Pengangkutan Miri Regev.
Mereka memperuntukkan $134 juta (RM620 juta) ke arah memperluaskan jalan antara penempatan Ariel dan Tapuach Junction di utara Tebing Barat dan $98 juta (RM454 juta) untuk menaik taraf jalan masuk ke kawasan Majlis Wilayah Beit El.
Smotrich dan Regev juga bersetuju menyumbang $81 juta (RM375 juta) daripada bajet untuk membiayai jalan baharu antara penempatan haram Migron serta Qalandia di utara Baitulmaqdis, yang akan memintas kem pelarian Qalandia dan merampas beribu-ribu ekar tanah milik Palestin.
Pelaburan itu merangkumi 25 peratus daripada bajet Kementerian Pengangkutan untuk infrastruktur jalan raya di seluruh negara, walaupun penduduk di penempatan haram itu hanya terdiri daripada lima peratus daripada hampir sepuluh juta rakyat Israel, lapor Times of Israel.
Sementara itu, Yoni Mizrachi, penyelidik Peace Now, berkata, kerajaan haram Israel bertindak melampau dengan mengambil wang daripada dana teras dan memberikannya kepada sekumpulan kecil yang tinggal di Tebing Barat.
“Kami melihat usaha di sini untuk memperdalam kehadiran Israel di Tebing Barat,” tambahnya.
Pada 30 Mac, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membincangkan laporan mengenai penempatan dan kesannya terhadap hak rakyat Palestin, yang dibentangkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Volker Turk.
Dalam laporannya, Turk menekankan bahawa jumlah peneroka Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis, meningkat daripada 520,000 kepada lebih daripada 700,000 sejak sedekad lalu.
Laporan itu merekodkan kewujudan hubungan antara perluasan penempatan Israel dan serangan peneroka haram terhadap Palestin sejak sedekad lalu, menyatakan bahawa PBB telah mengesahkan 3,372 insiden keganasan peneroka, yang mengakibatkan kecederaan 1,222 rakyat Palestin.
Sumber: Ismaweb
