Antarabangsa
Ratusan ribu kanak-kanak Ukraine dipindahkan ke Russia sejak 2015
Ratusan ribu kanak-kanak Ukraine mungkin sudah dipindahkan ke Russia sejak 2015 selepas Moscow menakluki Crimea, kata pakar antarabangsa yang menyiasat asimilasi besar-besaran kanak-kanak bawah umur Ukraine.
- Ratusan ribu kanak-kanak Ukraine mungkin sudah dipindahkan ke Russia sejak 2015 selepas Moscow menakluki Crimea, kata pakar antarabangsa menyiasat asimilasi besar-besaran kanak-kanak bawah umur Ukraine.
- Misi di bawah Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), berkata pihaknya mendapati berlaku banyak pertindihan pelanggaran hak kanak-kanak yang dipindahkan ke Persekutuan Russia.
- “Nampak ada rancangan untuk mengasimilasikan mereka (kanak-kanak) secara besar-besaran,” kata Pakar, Veronika Bilkova.
- Beliau berkata bilangan sebenar kanak-kanak yang dibawa dari Ukraine ke Russia masih tidak dapat dipastikan dengan penemuan menunjukkan pemindahan sedemikian sejak 2015.
VIENNA: Ratusan ribu kanak-kanak Ukraine mungkin sudah dipindahkan ke Russia sejak 2015 selepas Moscow menakluki Crimea, kata pakar antarabangsa yang menyiasat asimilasi besar-besaran kanak-kanak bawah umur Ukraine.
Misi dianggotai tiga pakar itu ditubuhkan di bawah Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), berkata pihaknya mendapati berlaku banyak pertindihan pelanggaran hak kanak-kanak yang dipindahkan ke Persekutuan Russia.
“Nampak ada rancangan untuk mengasimilasikan mereka (kanak-kanak) secara besar-besaran,” kata seorang daripada pakar, Veronika Bilkova kepada pemberita.
Beliau berkata, bilangan sebenar kanak-kanak yang dibawa dari Ukraine ke Russia masih tidak dapat dipastikan dengan penemuan menunjukkan pemindahan sedemikian sejak 2015.
“Anggaran paling rendah yang dapat anggarkan ialah sekurang-kurangnya 20,000 kanak-kanak… tetapi kedua-dua sumber Russia dan sumber Ukraine menunjukkan angka 10 atau lebih kali ganda lebih tinggi. Jadi kami benar-benar bercakap mengenai fenomena besar-besaran,” katanya.
Russia mengambil langkah undang-undang dan dasar untuk memberikan kewarganegaraan negaranya kepada sebilangan kanak-kanak dan untuk memudahkan penempatan mereka dalam keluarga angkat, menurut laporan 82 muka surat yang dikeluarkan pakar.
Kumpulan pakar itu juga memperincikan apabila di Russia, kanak-kanak itu terdedah kepada kempen maklumat pro-Russia yang selalunya disasarkan untuk pendidikan semula serta terbabit dalam pendidikan ketenteraan.
Laporan mengenai ‘pemindahan kanak-kanak secara paksa’ adalah yang terbaharu dijalankan di bawah OSCE yang dipanggil Mekanisme Moscow, yang membolehkan pasukan pakar ‘ad hoc’ ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan masalah negara anggota OSCE.
Untuk melakukan laporan itu, yang dimuktamadkan pada 23 April lalu, pakar mengumpul bahan bertulis, menjalankan lebih 25 temu bual dalam talian atau secara peribadi dan melawat Kyiv antara tempoh 14 hingga 20 April lalu.
Bagaimanapun menurut laporan itu, Russia tidak menjawab jemputan untuk menyumbang kepada laporan itu.
Menurut Kyiv, lebih 19,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan ke Russia sejak pencerobohan Februari 2022, dengan ramai dikatakan ditempatkan di institusi dan rumah angkat.
Bagaimanapun Russia menafikan dakwaan itu dan sebaliknya berkata pihaknya menyelamatkan kanak-kanak Ukraine daripada perang yang ngeri.
Pada Mac lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague mengumumkan waran tangkap untuk Presiden Russia, Vladimir Putin di atas tuduhan jenayah perang memindahkan kanak-kanak Ukraine secara tidak sah.
OSCE bermula pada awal 1970-an sebagai forum untuk dialog antara Timur dan Barat. Badan yang berpangkalan di Vienna itu mempunyai 57 negara anggota di tiga benua termasuk Russia, Ukraine dan Amerika Syarikat (AS).
Duta AS ke OSCE, Michael Carpenter, semalam menggesa penculikan dan pencurian kanak-kanak dihentikan segera, dengan menyebutnya sebagai mengerikan.
Sumber: Berita Harian