Connect with us

Antarabangsa

Pilihan raya Turkiye bakal ke pusingan kedua, keputusan sengit antara Erdogan dan Kilicdaroglu

Pilihan raya Turkiye bakal diteruskan ke pusingan kedua selepas Recep Tayyip Erdogan gagal memperoleh 50 peratus undian untuk melanjutkan pemerintahan yang dipegangnya selama 20 tahun itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pilihan raya Turkiye bakal ke pusingan kedua, keputusan sengit antara Erdogan dan Kilicdaroglu
Foto: Kemal Kilicdaroglu (kiri) dan Recep Tayyip Erdogan (kanan).
  • Pilihan raya Turkiye bakal diteruskan ke pusingan kedua.
  • Recep Tayyip Erdogan dan Kemal Kilicdaroglu masing-masing belum layak menuntut kemenangan kerana tidak meraih 50 peratus undian pada Ahad lalu.
  • Pusingan kedua pengundian dijadual berlangsung pada 28 Mei depan.

Pilihan raya Turkiye bakal diteruskan ke pusingan kedua selepas Recep Tayyip Erdogan gagal memperoleh 50 peratus undian untuk melanjutkan pemerintahan yang dipegangnya selama 20 tahun itu.

Memetik laporan CNN, Erdogan meraih 49.34 peratus undi, manakala pesaing utamanya, Kemal Kilicdaroglu meraih 44.99 peratus undi.

Jumlah itu tidak melayakkan kedua-duanya untuk menuntut kemenangan.

Calon ketiga, Sinan Ogam pula meraih 5.28 peratus undi sahaja.

Keputusan untuk meneruskan undian ke pusingan kedua disambut baik Kilicdaroglu yang yakin partinya akan menang.

“Jika negara kita mahukan pusingan kedua, kita dengan senang hati menerimanya. Kita benar-benar akan memenangi pilihan raya ini pada pusingan kedua. Semua orang akan melihatnya,” katanya.

Pilihan raya Ahad lalu memberi cabaran terbesar kepada Erdogan selaku pemimpin kuat Turkiye yang menghadapi masalah ekonomi dan kritikan mengenai kesan gempa bumi yang dahsyat pada 6 Februari lalu.

Buat pertama kalinya, pembangkang yang berpuak-puak di negara itu bergabung dengan calon tunggal, Kilicdaroglu yang mewakili gabungan enam parti pembangkang.

Terdahulu, penganalisis meramalkan yang Erdogan tidak akan melepaskan kuasanya tanpa melawan dan andai Kilicdaroglu mendahului, ada kemungkinan jumlah itu boleh dipertandingkan semula.

Erdogan juga dilaporkan yakin dapat mempertahankan kedudukannya sebagai presiden dalam pengundian pusingan pertama.

“Kami percaya kami akan menamatkan pusingan ini dengan lebih 50 peratus undian,” katanya kepada penyokong di ibu pejabat Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Ankara.

Pilihan raya Turkiye memulakan undian pusingan pertamanya pada 14 Mei lalu, menyaksikan persaingan di antara Erdogan, Kilicdaroglu, Ogam, dan seorang lagi calon, Muharrem Ince yang menarik diri beberapa hari sebelum pengundian. 

Pusingan kedua pengundian di antara Erdogan dan Kilicdaroglu dijadual berlangsung pada 28 Mei depan.

Sumber: CNN

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *