Antarabangsa
Pertempuran etnik ragut enam nyawa, India kerah ratusan tentera ke Manipur
Pihak berkuasa India menempatkan ratusan anggota tentera serta memutuskan perkhidmatan internet di wilayah Manipur, semalam, selepas pertempuran etnik tercetus sehingga meragut enam nyawa.

- Pihak berkuasa India menempatkan ratusan anggota tentera serta memutuskan perkhidmatan internet di wilayah Manipur, selepas pertempuran etnik tercetus sehingga meragut enam nyawa.
- Tentera dikerahkan ke wilayah timur laut yang terletak bersempadan dengan Myanmar itu, selepas perarakan bantahan oleh kumpulan puak bertukar menjadi ganas.
- “Perintah berkurung telah dikuatkuasakan. Keadaan tegang tetapi terkawal kini,” – Menteri Kerajaan Manipur, Awangbow Newmai.
- Gabenor negeri itu mengeluarkan ‘arahan tembak dalam kes ekstrem yang dilihat’, kepada pihak berkuasa tempatan.
NEW DELHI: Pihak berkuasa India menempatkan ratusan anggota tentera serta memutuskan perkhidmatan internet di wilayah Manipur, semalam, selepas pertempuran etnik tercetus sehingga meragut enam nyawa.
Tentera dikerahkan ke wilayah timur laut yang terletak bersempadan dengan Myanmar itu, selepas perarakan bantahan oleh kumpulan puak bertukar menjadi ganas, kelmarin.
“Perintah berkurung telah dikuatkuasakan. Keadaan tegang tetapi terkawal kini,” kata menteri Kerajaan Manipur, Awangbow Newmai, kepada AFP. Beliau turut mengesahkan angka kematian terbabit.
Semalam, gabenor negeri itu mengeluarkan ‘arahan tembak dalam kes ekstrem yang dilihat’, kepada pihak berkuasa tempatan.
Kementerian Pertahanan India dalam ciapan pula berkata, pasukan keselamatan memindahkan sekurang-kurang 7,500 penduduk keluar dari kawasan terjejas dengan keganasan di wilayah berkenaan.
Ia susulan kumpulan-kumpulan puak membantah tuntutan masyarakat etnik Meitei untuk dimasukkan ke dalam kategori ‘Scheduled Tribe’ bawah kerajaan.
Bawah undang-undang India, ahli puak berstatus sedemikian akan diperuntukkan kuota bagi pekerjaan sebagai penjawat awam dan kemasukan ke kolej, bagi menangani isu diskriminasi serta ketidaksaksamaan struktur.
Sumber: Berita Harian
