Antarabangsa
Pelampau Israel berarak ke Baitulmaqdis, ketegangan memuncak
Puluhan ribu warga Israel berarak ke Kota Lama Baitulmaqdis semalam, dalam perarakan tahunan kibaran bendera bagi memperingati penawanan Israel, ketika ketegangan di sempadan Gaza masih tinggi.
- Puluhan ribu warga Israel berarak ke Kota Lama Baitulmaqdis semalam, dalam perarakan tahunan kibaran bendera bagi memperingati penawanan Israel, ketika ketegangan di sempadan Gaza masih tinggi.
- Berdasarkan tinjauan AFP, penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis yang diduduki menutup kedai mereka dan dilarang memasuki pintu Gerbang Damsyik ke Kota Lama, iaitu sebuah hab sosial, untuk memberi laluan kepada perarakan.
- Menurut polis, susulan serangan itu, mereka menahan dua suspek yang dipercayai terbabit dalam keganasan iaitu seorang dewasa dan kanak-kanak.
- Tentera Israel bagaimanapun dilaporkan melepaskan gas pemedih mata ke arah sesiapa yang menghampiri pagar sempadan.
BAITULMAQDIS: Puluhan ribu warga Israel berarak ke Kota Lama Baitulmaqdis semalam, dalam perarakan tahunan kibaran bendera bagi memperingati penawanan Israel, ketika ketegangan di sempadan Gaza masih tinggi.
Berdasarkan tinjauan AFP, penduduk Palestin di timur Baitulmaqdis yang diduduki menutup kedai mereka dan dilarang memasuki pintu Gerbang Damsyik ke Kota Lama, iaitu sebuah hab sosial, untuk memberi laluan kepada perarakan.
Malah, sebahagian daripada mereka turut menyerang kumpulan media dengan batu dan botol.
Mereka yang menyertai perarakan turut melaungkan slogan anti-Arab.
Menurut polis, susulan serangan itu, mereka menahan dua suspek yang dipercayai terbabit dalam keganasan iaitu seorang dewasa dan kanak-kanak.
Sementara itu, di Gaza, ribuan orang berkumpul di sempadan Israel dengan kebanyakan mereka membawa bendera Palestin, dalam suasana yang dilihat seolah-olah persaingan bendera.
Tentera Israel bagaimanapun dilaporkan melepaskan gas pemedih mata ke arah sesiapa yang menghampiri pagar sempadan.
Sumber di pihak keselamatan Palestin di Gaza berkata, pemerintah Islam wilayah itu, Hamas pula melepaskan roket amaran ke laut, tanpa mengulas lanjut.
Menjelang perarakan Israel sebelum ini, kumpulan militan itu mengutuk kempen pendudukan Zionis (Israel) terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.
Dua tahun lalu, selepas beberapa minggu keganasan di Baitulmaqdis di mana puluhan rakyat Palestin cedera, perang antara Hamas dan Israel meletus ketika perarakan berkenaan
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam, berkata perayaan itu diadakan di Baitulmaqdis bagi memperingati 75 tahun selepas penubuhan semula kelahiran ibu negara Israel, dan 56 tahun selepas ia disatukan.
Dua daripada anggota Kabinet paling kanannya, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich, menghadiri perarakan itu, yang dianggap oleh orang Israel sebagai Hari Baitulmaqdis.
“Hari ini, kami ingin memberitahu Hamas yang mengancam kami bahawa Baitulmaqdis adalah milik kami,” kata Ben-Gvir dalam satu kenyataan.
Melalui peperangan selama enam hari pada 1967, Israel menakluki timur Baitulmaqdis dan Kota Lama di Palestin, namun tindakan itu tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.
Perhimpunan pada Khamis itu berlangsung beberapa hari selepas gencatan senjata yang menamatkan pertempuran rentas sempadan berdarah dengan militan Jihad Islam di Gaza.
Seramai 33 orang termasuk orang awam, terbunuh di wilayah lain Palestin yang disekat, dan dua di Israel membabitkan seorang warganya dan seorang pekerja di Gaza.
Kira-kira 2,500 pegawai polis mengawal perarakan itu, yang bermula di bahagian barat bandar berkenaan sebelum melepasi timur Baitulmaqdis dan melalui Kota Lama sebelum berakhir di Tembok Barat. – Agensi
Sumber: Berita Harian