Terkini
MKI akan bermesyuarat berhubung pembayar cukai meninggal dunia – Menteri agama
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi mencari kesepakatan mengenai pembayaran cukai tertunggak individu meninggal dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi mencari kesepakatan mengenai pembayaran cukai tertunggak individu meninggal dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
- Ini susulan perbezaan pandangan antara dua mufti, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berhubung perkara itu.
- Wan Salim dilaporkan berpandangan waris harus membayar tunggakan cukai, manakala Rahman pula berpendapat pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggalkan.
- Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia.
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi mencari kesepakatan mengenai pembayaran cukai tertunggak individu meninggal dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Ini susulan perbezaan pandangan antara dua mufti, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berhubung perkara itu.
Wan Salim dilaporkan berpandangan waris harus membayar tunggakan cukai, manakala Rahman pula berpendapat pewaris harta pusaka pembayar cukai pendapatan yang sudah meninggal dunia tidak perlu membayar cukai tertunggak ditinggalkan.
“Saya harap daripada muzakarah ini, dapat capai kata sepakat untuk mengelak kekeliruan umat Islam di negara ini mengenai pembayaran cukai tertunggak individu yang meninggal dunia,” katanya yang turut memaklumkan mesyuarat tersebut akan dipengerusikan Pengerusi MKI Nooh Gadut.
Ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Madani Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri 2023, Na’im berkata, MKI memainkan peranan menyelaraskan semua isu berkaitan dengan agama Islam supaya tidak timbul sebarang percanggahan pendapat.
“Kita akan cari jalan untuk selesaikan sebarang percanggahan berkaitan agama Islam,” katanya.
Menurutnya MKI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif menjalankan kajian syarak berhubung perkara itu.
Pada 11 Mei, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi, dilaporkan berkata waris bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang komitmen si mati termasuk pengurusan cukai pendapatan.
Seksyen 74 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menetapkan sebarang tunggakan cukai pendapatan tidak boleh dihapuskan secara automatik walaupun individu terbabit disahkan meninggal dunia. – BERNAMA
Sumber: Harian Metro