Antarabangsa
Lelaki mengaku sebagai perutusan Rasulullah serang pejabat MUI
Seorang lelaki yang mengaku sebagai perutusan Rasulullah SAW bertindak melepaskan tembakan di pejabat Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Jalan Proklamasi Jakarta Pusat kelmarin.

- Seorang lelaki mengaku sebagai perutusan Rasulullah SAW bertindak melepaskan tembakan di pejabat Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Jalan Proklamasi Jakarta Pusat kelmarin.
- Insiden itu tular di media sosial selepas suspek dikenali sebagai Mustopa didakwa melepaskan tembakan pada bahagian pintu kaca pejabat MUI, menyebabkan tiga orang turut cedera terkena serpihan bertaburan di dalam dan luar tingkat satu bangunan.
- Mustopa kemudian rebah sebelum ditahan polis dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kramat Jati.
- Ketua Polis Lampung, Zahwani Pandra berkata, Mustopa pernah dipenjara selama lima bulan kerana melakukan vandalisme di Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Lampung dan pihak polis sedang menyiasat jika suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas atau mengalami masalah mental.
JAKARTA: Seorang lelaki yang mengaku sebagai perutusan Rasulullah SAW bertindak melepaskan tembakan di pejabat Majlis Ulama Indonesia (MUI) di Jalan Proklamasi Jakarta Pusat kelmarin.
Insiden itu tular di media sosial selepas suspek dikenali sebagai Mustopa didakwa melepaskan tembakan pada bahagian pintu kaca pejabat MUI, menyebabkan tiga orang turut cedera terkena serpihan yang bertaburan di dalam dan luar tingkat satu bangunan.
Mustopa kemudian rebah sebelum ditahan polis dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kramat Jati.
Timbalan Ketua MUI Jakarta, Anwar Abbas berkata, petani berusia 60 tahun dari Lampung itu dilaporkan bertindak demikian kerana berang dihalang daripada bertemu dengan Ketua MUI, K.H. Miftachul Akhyar yang sedang bermesyuarat di tingkat empat bangunan ketika itu.
“Kejadian berlaku berhampiran meja penyambut tetamu sekitar pukul 11.00 pagi (waktu tempatan). Suspek turun dari sebuah kereta bersendirian menyatakan ingin bertemu dengan K.H. Miftachul.
“Penyambut tetamu tidak membenarkan suspek naik ke atas. Kerana berang dihalang, suspek melepaskan tembakan sebelum dia tiba-tiba rebah dan segera ditahan pihak berkuasa.
“Suspek sebenarnya sudah datang ke pejabat lebih tiga kali mendesak bertemu Ketua MUI dengan membawa sepucuk surat menyatakan beliau adalah wakil Nabi Muhammad SAW dan mahu berbincang mengenai urusan penyatuan ummah,” kata Anwar.
Ketua Polis Lampung, Zahwani Pandra berkata, Mustopa pernah dipenjara selama lima bulan pada tahun 2016 kerana melakukan vandalisme di Pejabat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Lampung dan pihak polis sedang menyiasat jika suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas atau mengalami masalah mental.
Sumber: Utusan Malaysia
