Antarabangsa
Kumpulan Kristian berhaluan kanan dalang di sebalik bantahan pembinaan masjid di Daegu
Satu protes besar-besaran dijadualkan pada 20 Mei anjuran National Sovereign Action bersama lebih 70 kumpulan Kristian konservatif untuk menghalang pembinaan masjid di Daegu, Korea Selatan, yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

- Kumpulan mubaligh Kristian berhaluan kanan, National Sovereign Action menganjurkan protes besar-besaran pada 20 Mei ini bersama 70 kumpulan Kristian konservatif untuk menghalang pembinaan masjid di Daegu, Korea Selatan, yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
- Kebanyakkan mereka yang terbabit dalam bantahan pembinaan masjid di Daegu itu dikatakan tiada kaitan dengan kejiranan di kawasan terbabit.
- Islamofobia di Korea Selatan dikaitkan dengan faktor penyebaran berita palsu yang diputar belitkan sumber asing.
- Wakil pelajar Islam mengharapkan media tempatan memberi tumpuan kepada isu itu supaya salah faham serta islamofobia dapat ditepis.
Satu protes besar-besaran dijadualkan pada 20 Mei anjuran National Sovereign Action bersama lebih 70 kumpulan Kristian konservatif untuk menghalang pembinaan masjid di Daegu, Korea Selatan, yang mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Menariknya kumpulan yang membantah pembinaan masjid di Daegu itu, kebanyakkan terdiri daripada mereka tidak berkaitan dengan rumah-rumah di sekeliling masjid tersebut.
Kumpulan mubaligh Kristian haluan kanan, National Sovereign Action yang berpangkalan di Seoul merupakan kumpulan yang menentang pembinaan semula masjid itu sejak awal lagi, manakala pasukan petugas anti-masjid mereka pula dilaporkan berkongsi alamat dengan sebuah gereja di Daegu.
Farrah Sheikh, professor pembantu di Universiti Keimyung dengan kepakaran berkenaan Islam di Korea Selatan memberitahu Al Jazeera bahawa Islamofobia biasanya dikaitkan dengan faktor penyebaran berita palsu yang diputar belitkan dari sumber asing.
Satu lagi faktor, katanya, adalah “persepsi negatif dibentuk golongan Kristian ekstrem haluan kanan yang tersusun, dibiayai dengan baik, yang takut dengan apa yang dipanggil ‘Pencerobohan Orang Islam’, melalui pengenalan kemudahan yang diperlukan umat Islam, seperti makanan halal, ruang solat, atau penerimaan pelarian Islam”.
Walaupun penyambungan semula pembinaan masjid itu mendapat tentangan hebat sehingga memerlukan campur tangan pihak polis, masjid itu dijangka siap menjelang musim panas.
“Kami secara aktif sedang berunding dengan semua pihak berkaitan dasar, serta pihak berkepentingan untuk menyelesaikan masalah ini, mengekalkan usaha berterusan untuk menghasilkan alternatif yang boleh dipersetujui oleh semua, warga Korea dan warga asing,” kata seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan.
Muaz Razaq yang merupakan wakil pelajar Islam Universiti Kebangsaan Kyungpook berkata kebanyakan media tempatan yang tidak memberi tumpuan kepada isu itu menghasilkan tanggapan di mata awam bahawa berlakunya perselisihan pendapat antara pihak kejiranan dan pelajar Muslim, walhal kumpulan agama tertentu telah menyebarkan islamofobia dan menggembleng tenaga mengganggu penyelesaian isu tersebut secara aman.
Sumber: Al Jazeera
