Antarabangsa
(VIDEO) Kanak-kanak Islam diambil secara paksa daripada keluarganya di Jerman
Pihak berkuasa Jerman dikritik hebat sejak tular satu klip video menunjukkan seorang kanak-kanak Islam warga asing yang diambil secara paksa dari keluarganya di bandar Bremerhaven, demikian lapor TRT World.

Pihak berkuasa Jerman dikritik hebat sejak tular satu klip video menunjukkan seorang kanak-kanak Islam warga asing yang diambil secara paksa dari keluarganya di bandar Bremerhaven, demikian lapor TRT World.
Menerusi video itu, kelihatan polis dan pegawai agensi perlindungan kanak-kanak memasuki sebuah rumah dan secara paksa mengambil seorang kanak-kanak daripada keluarganya, manakala kanak-kanak yang jelas ketakutan itu menangis dan meronta-ronta.
Ahli keluarga pula dilihat menjerit kepada pegawai, memberitahu yang kanak-kanak itu mempunyai beberapa masalah kesihatan dan tidak sepatutnya diambil daripada mereka dalam keadaan tertekan sebegitu.
Bagaimanapun, salah seorang pegawai polis memberitahu mereka hanya melaksanakan perintah mahkamah dan keputusan pejabat kebajikan belia.
Jumaat lalu, ramai pengguna media sosial menyelar pihak polis kerana tindakan salah laku dan menuduh pejabat kebajikan belia mengambil anak daripada ibu bapa mereka secara tidak adil.
View this post on Instagram
Polis Bremerhaven mengesahkan kejadian itu berlaku minggu lalu, namun mendakwa video itu diedarkan di media sosial dengan ‘dakwaan palsu’ mengenai punca tindakan itu.
“Video itu menunjukkan sebahagian kecil daripada langkah yang diarahkan mahkamah untuk mengambil dua kanak-kanak kepada jagaan,” kata polis dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Mengambil kanak-kanak kepada jagaan sentiasa menjadi pilihan terakhir dan hanya berlaku atas sebab yang serius. Kami tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai asas keputusan ini untuk melindungi keluarga dan anak-anak”.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial mendakwa kanak-kanak itu diambil “selepas pihak sekolahnya melaporkan bahawa keluarganya mengajar kanak-kanak itu yang transgenderisme dan perkara LGBT tidak diterima dalam Islam”.
Pejabat kebajikan belia di Bremerhaven pula tidak memberi sebarang komen segera mengenai perkara itu.
Sumber: TRT World
