Terkini
Kalimah Allah: PN dakwa Anwar kemuka jawapan politik
Perikatan Nasional (PN) mendakwa penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah yang dikemuka Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai jawapan politik.
- Perikatan Nasional (PN) mendakwa penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah yang dikemuka Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai jawapan politik.
- Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa maklum balas itu diterima secara peribadi daripada Idrus selepas Setiausaha Agung PAS itu selesai mendengar penjelasan Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
- “Saya kebetulan tadi keluar dari dewan (Dewan Rakyat) dan berjumpa Idrus. Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya, saya tanya: ‘Macam mana Tan Sri? Dia kata; Kita dengar sahajalah jawapan politik’.
- “Ini yang keluar daripada mulut Peguam Negara. Saya bertanggungjawab dengan keputusan ini dan saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi. Dia kata: ‘Datang sahajalah. Dengar jawapan politik’.
- “Tetapi saya sebagai peguam, kita tahu kalau (Peguam Negara) memasukkan rayuan itu tak mungkin dia sendiri menarik balik, kecuali ada arahan pihak tertentu,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen PN di lobi Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes penggunaan kalimah Allah yang dikemuka Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai jawapan politik.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa maklum balas itu diterima secara peribadi daripada Idrus selepas Setiausaha Agung PAS itu selesai mendengar penjelasan Perdana Menteri berhubung perkara berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Saya kebetulan tadi keluar dari dewan (Dewan Rakyat) dan berjumpa Idrus. Biarlah saya bertanggungjawab. Ini kenyataan saya, saya tanya: ‘Macam mana Tan Sri? Dia kata; Kita dengar sahajalah jawapan politik’.
“Ini yang keluar daripada mulut Peguam Negara. Saya bertanggungjawab dengan keputusan ini dan saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi. Dia kata: ‘Datang sahajalah. Dengar jawapan politik’.
“Tetapi saya sebagai peguam, kita tahu kalau (Peguam Negara) memasukkan rayuan itu tak mungkin dia sendiri menarik balik, kecuali ada arahan pihak tertentu,” katanya pada sidang media bersama Ahli Parlimen PN di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Anwar pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri, menjelaskan tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah ‘Allah’ bertujuan mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, selain itu juga selaras pandangan serta nasihat Peguam Negara.
Ahli Parlimen Tambun itu antara lain menyangkal dakwaan keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes terbabit tidak dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, selain menegaskan tuduhan sedemikian tidak sepatutnya timbul.
Ini kerana, katanya, keputusan kes Jill Ireland Lawrence Bill lawan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terikat keputusan Majlis Raja-Raja yang menyatakan nama ‘Allah’ tidak boleh digunakan di Semenanjung dengan kelonggaran secara bersyarat diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu turut mempersoal antara hujah digunakan Jill Ireland menggunakan tiga afidavit yang didakwa mewakili keseluruhan umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, tiga afidavit itu masing-masing dikemuka Naib Pengerusi DAP Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga pensyarah Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom.
“Adakah tiga orang yang membuat afidavit menyokong permohonan Jill Ireland ini mengatasi kuasa Majlis Agama Islam negeri? Itu kita persoalkan. Sekurang-kurangnya tiga Majlis Agama Islam (Selangor, Johor dan Kedah).
“Malah, dikatakan rayuan ini dimasukkan selepas mempertimbangkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Adakah dirujuk benda ini?” katanya.
Takiyuddin turut mempersoal keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes terbabit dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong selepas atau sebelum ketetapan mengenainya dimuktamad.
“Kedua, apabila kita tanya pula pendirian kerajaan dan Perdana Menteri, atas asas apa dia tarik balik kes ini, sedangkan satu-satu keputusan mahkamah, kita sebagai kerajaan memerlukan keputusan di mahkamah yang tertinggi.
“Ini kes mahkamah tinggi. Sepatutnya dengar dulu Mahkamah Rayuan yang mempunyai minimum tiga orang hakim. Kemudian, tak puas hati (bawa kes) ke Mahkamah Persekutuan. Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah sebegitu?
“Biarlah undang-undang mengambil tempatnya dan mahkamah membuat keputusan. Kerajaan tak boleh campur (tangan). Kalau kerajaan sebagai badan eksekutif campur tangan dalam kehakiman, inilah yang menjadi masalah,” dakwanya.
Sumber: Berita Harian