Terkini
Berita baik akan diumum untuk pengamal media – Fahmi Fadzil
Kerajaan akan mengumumkan berita baik buat pengamal media di negara ini menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dijadual diadakan pada 27 hingga 29 Mei ini.
- Kerajaan akan mengumumkan berita baik buat pengamal media di negara ini menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dijadual diadakan pada 27 hingga 29 Mei ini.
- Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merangkap jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
- Berkongsi keratan berita berhubung perkembangan Indeks Kebebasan Akhbar 2022 yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara, beliau berkata, ia adalah pencapaian baik dan membanggakan buat negara.
- “Insya-Allah akan ada beberapa pengumuman baik buat pengamal media menjelang Hari Wartawan Nasional,” katanya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan berita baik buat pengamal media di negara ini menjelang Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang dijadual diadakan pada 27 hingga 29 Mei ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil merangkap jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.
Berkongsi keratan berita berhubung perkembangan Indeks Kebebasan Akhbar 2022 yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan negara Asia Tenggara, beliau berkata, ia adalah pencapaian baik dan membanggakan buat negara.
Dengan pencapaian itu, katanya, ia menjadi pemangkin buat kerajaan untuk memartabatkan kebebasan media di negara ini.
“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama pengamal media sedang meneliti draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri.
“Insya-Allah akan ada beberapa pengumuman baik buat pengamal media menjelang Hari Wartawan Nasional,” katanya.
Media melaporkan Malaysia naik enam anak tangga kepada kedudukan 113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RWB) iaitu sebuah organisasi yang menjalankan advokasi berkenaan kebebasan media.
Kedudukan Malaysia di 113 daripada 180 dengan skor 51.55 dan yang tertinggi dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara.
Malaysia mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).
Sumber: Berita Harian