Connect with us

Antarabangsa

Bekas Presiden Russia mahu Volodymyr Zelanskyy dibunuh

Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev kelmarin menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dihapuskan selepas Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan dron ke atas Kremlin bertujuan untuk membunuh Presiden Vladimir Putin, lapor MailOnline

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bekas Presiden Russia mahu Volodymyr Zelanskyy dibunuh
Foto: Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev.
  • Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev kelmarin menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dihapuskan selepas Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan dron ke atas Kremlin bertujuan untuk membunuh Presiden Vladimir Putin.
  • “Selepas serangan ‘pengganas’ hari ini (kelmarin), tiada pilihan selain menyingkirkan Zelenskyy secara fizikal dan sekutunya,” kata Medvedev.
  • Russia mendakwa dua dron Ukraine meletup di atas bangunan Kremlin yang merupakan kediaman Putin awal pagi kelmarin.
  • Moscow berkata pihaknya menggagalkan cubaan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan terancang pengganas untuk membunuh Presiden Persekutuan Russia.

MOSCOW: Bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev kelmarin menggesa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy dihapuskan selepas Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan dron ke atas Kremlin bertujuan untuk membunuh Presiden Vladimir Putin, lapor MailOnline

“Selepas serangan ‘pengganas’ hari ini (kelmarin), tiada pilihan selain menyingkirkan Zelenskyy secara fizikal dan sekutunya,” kata Medvedev.

Russia mendakwa bahawa dua dron Ukraine meletup di atas bangunan Kremlin yang merupakan kediaman Putin awal pagi kelmarin.

Moscow berkata, pihaknya telah menggagalkan cubaan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan terancang pengganas untuk membunuh Presiden Persekutuan Russia. Insiden itu mendorong tuntutan oleh pemimpin-pemimpin Russia agar kerajaan Kiev dimusnahkan.

Ukraine segera mengumumkan bahawa Kiev tiada kaitan dengan serangan tersebut. Russia menceroboh negara jirannya itu lebih 14 bulan lalu.

Amaran supaya Ukraine dimusnahkan pula dibuat oleh pegawai kanan Russia, Vyacheslav Volodin yang menyeru Moscow meningkatkan perang tersebut dan menggunakan senjata pemusnah bagi menghapuskan rejim Kiev.

Tidak jelas senjata dimaksudkan Volodin tetapi Putin dan pegawai kanan Kremlin pernah mengugut untuk menggunakan senjata nuklear di Ukraine.

Rakaman insiden menunjukkan apa yang kelihatan seperti bebola api meletup di atas bumbung kompleks kerajaan di Kremlin, namun tiada pengesahan bebas dengan pihak berkuasa Russia menyatakan, ia berlaku pada waktu malam tanpa mengemukakan bukti untuk menyokongnya.

“Ketika kejadian, Putin berada di kediamannya di Novo-Ogaryovo, luar Moscow,” kata jurucakapnya, Dmitry Peskov kepada agensi berita Russia, RIA Novosti.

Kremlin berkata, tentera Russia dan pasukan keselamatan menembak jatuh dron tersebut, manakala tiada kecederaan dilaporkan.

Laman web rasmi Kremlin memberitahu, serpihan dron itu jatuh di kawasan Kremlin tanpa menyebabkan kerosakan besar.

Zelenskyy kelmarin menafikan dakwaan Moscow bahawa Kiev cuba membunuh Putin selepas Russia berkata, kedua-dua dron itu telah ditembak jatuh.

“Kami tidak menyerang Putin. Kita serahkan nasibnya kepada tribunal antarabangsa. Kami berjuang di wilayah kami. Kami mempertahankan kampung dan bandar kami,” kata Zelenskyy pada sidang media bersama barisan pemimpin negara-negara rantau Nordic di Helsinki.

Seorang pembantu kanannya berkata: “Kami tidak mempunyai maklumat tentang apa yang dianggap sebagai serangan waktu malam di Kremlin. Namun, seperti yang telah dikatakan berulang kali oleh Presiden Zelenskyy, Ukraine mengerahkan semua kekuatannya untuk membebaskan wilayah sendiri dan bukan untuk menyerang orang lain.”

Satu teori di sebalik serangan itu adalah ia berkemungkinan operasi palsu oleh Russia untuk menyatupadukan rakyat di bawah Putin. Presiden itu didakwa tertekan disebabkan tiada kemajuan dalam perang di Ukraine dan jumlah korban besar askar Russia.

Insiden kelmarin berlaku kurang seminggu sebelum perarakan ketenteraan besar-besaran yang dirancang diadakan di dataran Red Square, Moscow bagi meraikan kekalahan bekas diktator Jerman, Adolf Hitler dalam Perang Dunia Kedua.

Jurucakap Putin, Dmitry Peskov berkata, perarakan itu akan diteruskan walaupun Kremlin diserang dron.

Sementara itu, Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, tuduhan bahawa Kiev menjadi dalang serangan itu menunjukkan Moscow sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan ‘pengganas’ berskala besar terhadap negaranya dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Podolyak berkata, dakwaan itu akan dijadikan alasan bagi Russia untuk mewajarkan serangan besar-besaran ke atas bandar, penduduk awam dan infrastruktur Ukraine.

Katanya, Ukraine tidak menyerang Kremlin kerana ia tidak akan mencapai sebarang matlamat ketenteraan. – AGENSI

Sumber: Kosmo

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *