Connect with us

Terkini

82 peratus responden kajian setuju undang-undang kewarganegaraan dipinda

Sebanyak 82 peratus daripada 808 responden tinjauan dilakukan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak sama rata bagi anak yang dilahirkan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing adalah penting.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

82 peratus responden kajian setuju undang-undang kewarganegaraan dipinda
Foto: Presiden Family Forntiers, Suriani Kempe.
  • Sebanyak 82 peratus daripada 808 responden tinjauan dilakukan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak sama rata bagi anak dilahirkan wanita warga Malaysia berkahwin dengan warga asing adalah penting.
  • Majoriti responden kepada tinjauan yang dijalankan persatuan itu pada 16 sehingga 19 November tahun lalu bersetuju bahawa undang-undang kewarganegaraan sedia ada perlu dipinda.
  • Presiden Family Forntiers, Suriani Kempe berkata anak dilahirkan wanita warga Malaysia tidak mempunyai sebab untuk tidak diiktiraf dan penting untuk dipastikan anak-anak ini terjaga dengan memberi mereka status kewarganegaraan.
  • “Isu ini tidak perlu dipusingkan, ia adalah hak ibu untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak mereka secara automatik. Kita tidak meminta lebih daripada hak yang dinikmati oleh orang lelaki di Malaysia,” katanya.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 82 peratus daripada 808 responden tinjauan dilakukan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) percaya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak sama rata bagi anak yang dilahirkan wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing adalah penting.

Justeru, majoriti responden kepada tinjauan yang dijalankan persatuan itu pada 16 sehingga 19 November tahun lalu bersetuju bahawa undang-undang kewarganegaraan sedia ada perlu dipinda.

Presiden Family Forntiers, Suriani Kempe, berkata anak dilahirkan wanita warga Malaysia tidak mempunyai sebab untuk tidak diiktiraf dan penting untuk dipastikan anak-anak ini terjaga dengan memberi mereka status kewarganegaraan.

“Isu ini tidak perlu dipusingkan, ia adalah hak ibu untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada anak mereka secara automatik. Kita tidak meminta lebih daripada hak yang dinikmati oleh orang lelaki di Malaysia.

“Saya mengharapkan pindaan ini akan dibentangkan dalam Kabinet dan di Parlimen. Kehidupan ibu dan anak mereka sekarang ini diibaratkan seperti digantung tak bertali dan mereka sedang menunggu untuk meneruskan kehidupan mereka dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran ‘Malaysia Speaks: Pelancaran Tinjauan Persepsi Awam #PindaPerkara14’ di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warga negara.

Keputusan dibuat pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari lalu selepas meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

Dalam pada itu, Suriani berkata, dalam setiap kawasan Parlimen akan ada ibu yang terkesan dengan isu berkaitan kewarganegaraan ini dan ahli parlimen perlu melakukan perkara yang betul untuk menjaga kebajikan mereka.

Seorang ibu yang terkesan, Nik Elin Nik Yusof, berkata dia tidak mempunyai pilihan kecuali melahirkan anaknya di Dubai disebabkan faktor kewangan, memandangkan insurans suaminya tidak boleh digunakan di Malaysia.

“Ketika itu juga, saya tidak mahu menambahkan beban kewangan kepada arwah ibu saya kerana dia juga sedang melawan kanser limfoma tahap empat.

Ibu mertua dan suami saya yang banyak memberikan sokongan kepada saya,” katanya.

Katanya, disebabkan anaknya bukan warga negara Malaysia, dia menghadapi cabaran untuk mendapatkan akses kepada perubatan dan juga pendidikan.

“Saya terpaksa menanggung kos visa pelajar setiap tahun untuk anak walaupun dia bersekolah di sekitar Taman Tun Dr Ismail sahaja.

“Malaysia ini rumah saya dan saya mahu tinggal di sini selamanya. Apabila dia berusia 18 tahun dan masih tidak mempunyai kewarganegaraan, dia terpaksa tinggalkan Malaysia. Di manakah keadilan dalam isu ini?

“Anak-anak dilahirkan ini satu hadiah. Mereka pemangkin masa hadapan negara ini dan sepatutnya mempunyai hak serta peluang sama seperti anak yang dilahirkan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh, memberikan keyakinan bahawa pindaan undang-undang ini adakan diluluskan tahun ini.

“Ini satu langkah besar diambil Kerajaan Perpaduan dalam agenda untuk mereformasikan Malaysia. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pemegang taruh dan semua pihak yang mengambil berat berkenaan isu ini,” katanya menerusi panggilan video.

Sumber: Berita Harian

Author