Antarabangsa
Seorang kanak-kanak maut dalam insiden keganasan ketika perayaan Hindu di India
Pihak berkuasa mengerahkan ratusan polis rusuhan dan memotong perkhidmatan internet mudah alih di bahagian timur India selepas keganasan tercetus di beberapa negeri ketika perayaan agama Hindu.

- Pihak berkuasa mengerahkan ratusan polis rusuhan dan memotong perkhidmatan internet mudah alih di bahagian timur India selepas keganasan meletus di beberapa negeri semasa perayaan agama Hindu.
- Polis berkata sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak bawah umur ditembak mati di pekan Bihar Sharif di daerah Nalanda di negeri Bihar pada Sabtu lalu.
- Insiden itu berlaku ketika penganut Hindu mengadakan perarakan untuk menandakan Ram Navami.
- Ia berlaku sehari selepas kumpulan perusuh membakar rumah dan kedai semasa perayaan orang ramai yang meriah di bandar itu.
Pihak berkuasa mengerahkan ratusan polis rusuhan dan memotong perkhidmatan internet mudah alih di bahagian timur India selepas keganasan tercetus di beberapa negeri ketika perayaan agama Hindu.
Menurut polis tempatan, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak bawah umur ditembak mati di pekan Bihar Sharif, daerah Nalanda, negeri Bihar pada Sabtu lalu ketika penganut Hindu berarak sempena sambutan Ram Navami.
Memetik laporan Aljazeera, insiden itu berlaku sehari selepas kumpulan perusuh membakar rumah dan kedai dalam sebuah perayaan di bandar itu.
Sebuah sekolah Islam terkemuka di Bihar Sharif juga dilaporkan dibakar.
Perayaan Ram Navami di beberapa bahagian di India biasanya menyaksikan perarakan besar individu yang membawa pedang, kayu, trisula (senjata bercabang tiga) dan juga senjata api.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perhimpunan itu berarak secara provokatif melalui kawasan kejiranan Muslim dengan bunyi kuat muzik keagamaan (biasanya berunsur kebencian).
Ketua Polis Nalanda, Shibli Nomani berkata hampir 100 individu ditangkap kerana keganasan yang tercetus pada Khamis apabila ribuan penganut Hindu berhimpun di jalanan dan berarak melalui kawasan majoriti umat Islam.
“Keadaan terkawal. Kami sedang membuat rondaan di kawasan itu dan memastikan tiada perhimpunan dibenarkan,” katanya, menegaskan pergolakan itu sedang disiasat.
Sumber: Aljazeera
