Antarabangsa
Remaja lelaki Palestin maut ditembak di kepala, dada & perut
Tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki Palestin, manakala dua lagi cedera, di Tebing Barat, semalam.
- Tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki Palestin, manakala dua lagi cedera, di Tebing Barat, semalam.
- Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammed Fayez Balhan, 15, terkorban selepas ditembak di kepala, dada serta perut oleh tentera rejim Zionis menggunakan peluru hidup.
- Pertempuran tercetus apabila tentera rejim itu menyerbu kem berkenaan dan mengepung beberapa rumah, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
- Ketegangan semakin meruncing, semalam apabila beberapa menteri Israel menyertai perarakan pendatang Yahudi dengan kawalan keselamatan ketat di Tebing Barat yang diduduki.
JERICHO (WILAYAH PALESTIN): Tentera Israel menembak mati seorang remaja lelaki Palestin, manakala dua lagi cedera, di Tebing Barat, semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammed Fayez Balhan, 15, terkorban selepas ditembak di kepala, dada serta perut oleh tentera rejim Zionis menggunakan peluru hidup.
Tentera Israel mendakwa pasukannya melancarkan operasi di kem Aqabat Jaber, berhampiran Jericho, ‘untuk menahan suspek pengganas.
Pertempuran tercetus apabila tentera rejim itu menyerbu kem berkenaan dan mengepung beberapa rumah, lapor agensi berita Palestin, Wafa.
Pegawai keselamatan Palestin memberitahu AFP, lima individu ditahan dalam serbuan itu.
Dalam pada itu, seorang wanita British-Israel meninggal dunia di hospital, semalam, akibat parah dalam insiden tembakan yang meragut nyawa dua anak perempuannya berusia 16 dan 20 tahun di Tebing Barat pada Jumaat lalu.
Kereta dinaiki tiga beranak itu diserang di Lembah Jordan yang juga terletaknya Jericho. Mereka adalah penduduk Efrat, iaitu penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Ketegangan semakin meruncing, semalam, apabila beberapa menteri Israel menyertai perarakan pendatang Yahudi dengan kawalan keselamatan ketat di Tebing Barat yang diduduki.
Mereka mendesak supaya kelulusan diberikan kepada sebuah pos luar pendatang Israel.
Sumber: Berita Harian