Antarabangsa
OIC kutuk keganasan Ram Navami ke atas umat Islam, India tuduh kenyataan badan dunia itu ‘anti-India’
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meluahkan kebimbangan terhadap tindakan keganasan dan vandalisme yang menyasarkan masyarakat Islam di beberapa negeri India semasa perarakan Ram Navami pada 3 April lalu.

- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meluahkan kebimbangan terhadap tindakan keganasan dan vandalisme yang menyasarkan masyarakat Islam di beberapa negeri India semasa perarakan Ram Navami pada 3 April lalu.
- OIC dalam kenyataannya berkata perusuh Hindutva telah membakar sebuah madrasah berusia satu abad dan perpustakaannya di Bihar Sharif pada 31 Mac lalu.
- “Sekretariat Agung OIC mengecam tindakan provokatif seperti keganasan dan vandalisme, yang merupakan manifestasi jelas peningkatan Islamofobia dan sasaran sistemik masyarakat Islam di India,” – kata kenyataan badan dunia itu.
- Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi pula mengecam kenyataan OIC yang disifatkan sebagai agenda anti-India.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meluahkan kebimbangan terhadap tindakan keganasan dan vandalisme yang menyasarkan masyarakat Islam di beberapa negeri India semasa perarakan Ram Navami pada 3 April lalu.
OIC ialah badan yang mempunyai 57 ahli. Majoriti anggotanya adalah negara majoriti Islam, manakala yang lain mempunyai populasi Islam yang ketara, termasuk beberapa negara Afrika dan Amerika Selatan.
Memetik laporan Maktoob Media, OIC dalam kenyataannya berkata perusuh Hindutva telah membakar sebuah madrasah berusia satu abad dan perpustakaannya di Bihar Sharif pada 31 Mac lalu.
“Sekretariat Agung OIC mengecam tindakan provokatif seperti keganasan dan vandalisme, yang merupakan manifestasi jelas peningkatan Islamofobia dan sasaran sistemik masyarakat Islam di India,” kata kenyataan itu.
OIC juga menyeru pihak berkuasa India untuk mengambil tindakan tegas terhadap penghasut dan pelaku perbuatan terbabit dan memastikan keselamatan, hak dan maruah masyarakat Islam di negara itu terbela.
Keganasan dan vandalisme yang menyasarkan umat Islam menjejaskan Perarakan Ram Navami di beberapa negeri di India.
Ucapan kebencian dan lemparan batu terhadap tempat ibadat dan kuil adalah perkara biasa berlaku dalam semua kejadian seperti di Maharashtra, Madhya Pradesh, Bihar, Uttar Pradesh, Karnataka, Telangana, Bengal Barat dan Gujarat.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi mengecam kenyataan yang dikeluarkan OIC.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat OIC hari ini mengenai India. Ini adalah satu lagi contoh pemikiran komunal mereka dan agenda anti-India,” kata Bagchi.
“OIC hanya merosakkan reputasinya dengan dimanipulasi secara konsisten oleh pasukan anti-India,” kata kenyataan Kementerian Luar India itu.
Sumber: Maktoob Media
