Antarabangsa
Mesir kecam tindakan polis Israel ceroboh Masjid al-Aqsa
Mesir mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis Israel menceroboh Masjid al-Aqsa, sekali gus menuntut serangan ke atas jemaah Palestin dihentikan serta-merta.
- Mesir mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis Israel menceroboh Masjid al-Aqsa, sekali gus menuntut serangan ke atas jemaah Palestin dihentikan serta-merta.
- Mesir juga mengutuk tindakan melampau polis Israel – menyerbu dan menyerang jemaah sehingga mengakibatkan kecederaan – kerana melanggar semua undang-undang serta norma antarabangsa.
- “Adegan yang menjijikkan dan tercela serta pelanggaran berulang rejim Israel terhadap tempat suci menyemarakkan perasaan marah di kalangan rakyat Palestin, umat Islam dan masyarakat seluruh dunia,” kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.
- Mesir menggesa pihak berkuasa Israel untuk menghentikan serangan yang menakut-nakutkan jemaah, selain menyifatkan rejim itu bertanggungjawab terhadap ketegangan di rantau itu, yang menjejaskan gencatan senjata diusahakan Kaherah serta antarabangsa sebelum ini.
KAHERAH, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Mesir mengecam sekeras-kerasnya tindakan polis Israel menceroboh Masjid al-Aqsa, sekali gus menuntut serangan ke atas jemaah Palestin dihentikan serta-merta.
Terdahulu, polis Israel memasuki Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada sebelum Subuh pada Rabu, dan bertempur dengan jemaah sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penduduk Palestin.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar, Mesir mengutuk tindakan melampau polis Israel – menyerbu dan menyerang jemaah sehingga mengakibatkan kecederaan – kerana melanggar semua undang-undang serta norma antarabangsa.
“Adegan yang menjijikkan dan tercela serta pelanggaran berulang rejim Israel terhadap tempat suci menyemarakkan perasaan marah di kalangan rakyat Palestin, umat Islam dan masyarakat seluruh dunia,” katanya.
Mesir menggesa pihak berkuasa Israel untuk menghentikan serangan yang menakut-nakutkan jemaah, selain menyifatkan rejim itu bertanggungjawab terhadap ketegangan di rantau itu, yang menjejaskan gencatan senjata diusahakan Kaherah serta antarabangsa sebelum ini.
Kementerian itu juga turut menyeru masyarakat antarabangsa bertanggungjawab dalam menamatkan serangan berkenaan untuk mengelakkan ketidakstabilan serta ketegangan di rantau terbabit.
Sebelum ini, polis Israel mendakwa tindakan serbuan di Masjid Al-Aqsa kononnya untuk mengusir kumpulan yang digelar ‘perusuh’ kerana membawa mercun, kayu dan batu.
Jurucakap polis Israel berkata, lebih 350 orang telah ditangkap.
Susulan insiden itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, tindakan tidak bertanggungjawab pihak rejim Zionis ke atas tempat suci itu akan menjejaskan perasaan berjuta-juta umat Islam seluruh dunia, apatah lagi ketika bulan Ramadan.
Justeru, beliau menggesa masyarakat antarabangsa yang diwakili negara anggota Majlis Keselamatan PBB untuk mendesak Israel segera menghentikan peningkatan berbahaya ini, yang berisiko mengancam keadaan di wilayah Palestin.- Agensi
Sumber: Ismaweb