Antarabangsa
Mahkamah Agung Myanmar setuju dengar rayuan Aung San Suu Kyi
Mahkamah Agung Myanmar, semalam bersetuju untuk mendengar rayuan bagi sabitan kesalahan terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, selain permohonan untuk mengurangkan hukuman bagi beberapa kes membabitkan rasuah, penipuan pilihan raya dan melanggar akta rahsia rasmi.
- Mahkamah Agung Myanmar, bersetuju mendengar rayuan bagi sabitan kesalahan terhadap pemimpin digulingkan, Aung San Suu Kyi, selain permohonan mengurangkan hukuman bagi beberapa kes membabitkan rasuah, penipuan pilihan raya dan melanggar akta rahsia rasmi.
- Suu Kyi, ditahan pada 1 Februari 2021 apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaannya yang dipilih rakyat.
- Beliau sedang menjalani hukuman penjara selama 33 tahun selepas didapati bersalah dalam beberapa siri pendakwaan bermotifkan politik oleh tentera.
- Penyokong beliau dan pakar undang-undang bebas berkata, kes itu adalah percubaan untuk memburukkan nama Suu Kyi dan menghalalkan pengambilalihan oleh tentera serta menghalangnya daripada kembali ke arena politik.
BANGKOK: Mahkamah Agung Myanmar, semalam bersetuju untuk mendengar rayuan bagi sabitan kesalahan terhadap pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, selain permohonan untuk mengurangkan hukuman bagi beberapa kes membabitkan rasuah, penipuan pilihan raya dan melanggar akta rahsia rasmi.
Suu Kyi, 77, ditahan pada 1 Februari 2021 apabila tentera merampas kuasa daripada kerajaannya yang dipilih rakyat.
Beliau sedang menjalani hukuman penjara selama 33 tahun selepas didapati bersalah dalam beberapa siri pendakwaan bermotifkan politik oleh tentera.
Penyokong beliau dan pakar undang-undang bebas berkata, kes itu adalah percubaan untuk memburukkan nama Suu Kyi dan menghalalkan pengambilalihan oleh tentera serta menghalangnya daripada kembali ke arena politik.
Seorang pegawai undang-undang yang enggan dikenali, berkata Mahkamah Agung belum menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu dan permohonan untuk mengurangkan hukuman, namun mungkin berbuat demikian dalam tempoh dua bulan lagi.
Peguam Suu Kyi, yang menjadi sumber maklumat mengenai prosiding itu dikenakan perintah mahkamah supaya tidak mendedahkan maklumat pada akhir 2021.
Suu Kyi disabitkan pelbagai pertuduhan, termasuk mengimport dan memiliki walkie-talkie secara haram, melanggar sekatan COVID-19, menghasut dan tujuh kes lain berkaitan rasuah.
Kebanyakan rayuan difailkan peguam bagi pihaknya sebelum ini ditolak.
Rampasan kuasa oleh tentera pada 2021 mendapat bantahan besar-besaran tanpa sebarang kekerasan, namun tentera bertindak balas dengan kekerasan yang mengorbankan nyawa serta bertukar menjadi perjuangan bersenjata yang meluas.
Kerajaan dikuasai tentera juga tidak membenarkan mana-mana orang luar bertemu dengan Suu Kyi sejak beliau ditahan walaupun terdapat tekanan antarabangsa supaya rundingan diadakan, sekali gus boleh meredakan krisis politik negara itu.
Sebuah pertubuhan bebas, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, berkata sekurang-kurangnya 17,517 tahanan politik, termasuk Suu Kyi ditahan setakat semalam.
Mahkamah Agung bersetuju mendengar rayuan kes rasuah itu, yang mana Suu Kyi didapati bersalah menyalahgunakan kedudukannya dan menyebabkan kehilangan dana negara dengan mengabaikan peraturan kewangan.
Beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun pada Disember lalu atas lima pertuduhan rasuah kerana memberi kebenaran kepada anggota Kabinet dalam kerajaannya, Win Myat Aye, untuk mengupah, membeli dan menyelenggara helikopter. – AGENSI
Sumber: Berita Harian