Connect with us

Antarabangsa

Larangan wanita Afghanistan bekerja, PBB dipaksa buat ‘pilihan mengecewakan’

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipaksa membuat ‘pilihan mengecewakan’ sama ada untuk meneruskan operasi di Afghanistan selepas kerajaan Taliban melarang wanita bekerja untuk badan dunia itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Larangan wanita Afghanistan bekerja, PBB dipaksa buat 'pilihan mengecewakan’
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • PBB dipaksa membuat ‘pilihan mengecewakan’ sama ada untuk meneruskan operasi di Afghanistan selepas kerajaan Taliban melarang wanita bekerja untuk badan dunia itu.
  • Larangan itu dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB dan atas sebab itu, pertubuhan berkenaan tidak dapat mematuhinya.
  • “Melalui larangan ini, pihak berkuasa de facto Taliban berusaha memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat pilihan yang mengecewakan,” kata PBB dalam satu kenyataan minggu ini.
  • Setakat ini, pihak berkuasa Taliban tidak mengeluarkan sebarang penjelasan atau alasan untuk larangan dikenakan terhadap PBB itu.

KABUL – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dipaksa membuat ‘pilihan mengecewakan’ sama ada untuk meneruskan operasi di Afghanistan selepas kerajaan Taliban melarang wanita bekerja untuk badan dunia itu.

Pihak berkuasa Taliban mengenakan sekatan ke atas wanita Afghanistan sejak berkuasa di Afghanistan pada 2021, termasuk melarang wanita melanjutkan pengajian tinggi dan bekerja di sektor kerajaan. 

Disember lalu, mereka melarang wanita Afghanistan bekerja untuk pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara dan pada 4 April lalu melanjutkan larangan itu ke pejabat PBB di seluruh negara.

PBB dalam satu kenyataan minggu ini berkata larangan itu “melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB dan atas sebab itu, badan dunia berkenaan tidak dapat mematuhinya”.

“Melalui larangan ini, pihak berkuasa de facto Taliban berusaha memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat pilihan yang mengecewakan.

“Antara kekal dan memberikan sokongan kepada rakyat Afghanistan dan berpegang pada norma serta prinsip yang ditetapkan,” kata PBB melalui kenyataan media itu.

AlJazeera melaporkan PBB menggajikan kira-kira 400 wanita Afghanistan di negara itu dengan pekerja tempatan merupakan sebahagian besar daripada tenaga kerja itu. 

Penyelaras kemanusiaan PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov berkata dekri itu melanggar piagam pertubuhan dunia tersebut.

“Adalah jelas sekali bahawa tiada pihak berkuasa boleh memberi arahan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu… tentang siapa yang patut diambil bekerja,” katanya.

Sejak larangan itu diumumkan, PBB mengarahkan semua kakitangan Afghanistan, lelaki dan wanita agar tidak melaporkan diri ke pejabat sehingga diberitahu kelak.

Larangan itu mencetuskan kecaman antarabangsa dengan pihak berkuasa Taliban mendapat kritikan teruk. 

Setakat ini, Taliban tidak mengeluarkan sebarang penjelasan atau alasan untuk larangan dikenakan terhadap PBB.

 

Sumber: Facebook Al Jazeera

Author