Antarabangsa
Kanak-kanak Islam dibogelkan, dibelasah dan dipaksa laung “Jai Shri Ram”
Seorang budak lelaki Islam berusia 11 tahun dibogelkan, dibelasah dan dipaksa melaungkan ayat memuja dewa agama Hindu, “Jai Shri Ram” (kemuliaan Tuhan Rama) oleh sekumpulan remaja dari komuniti lain di India.
- Seorang budak lelaki Islam berusia 11 tahun dibogelkan, dibelasah dan dipaksa melaungkan ayat memuja dewa agama Hindu, “Jai Shri Ram” oleh sekumpulan remaja dari komuniti lain yang dikenalinya.
- Kejadian berlaku di Indore, Madhya Pradesh, India pada Rabu lalu (12 April 2023).
- Pada awalnya, sekumpulan remaja itu mengajaknya untuk bermain, namun kemudian dia dibawa ke sebuah kolam terpencil sebelum diperlakukan seperti tuduhan.
Seorang budak lelaki Islam berusia 11 tahun dibogelkan, dibelasah dan dipaksa melaungkan ayat memuja dewa agama Hindu, “Jai Shri Ram” (kemuliaan Tuhan Rama) oleh sekumpulan remaja dari komuniti lain di India.
Kejadian berlaku di Indore, Madhya Pradesh pada Rabu (12 April) itu turut dirakamkan salah seorang dari mereka dan dimuat naik ke media sosial.
Memetik laporan The Quint, video itu tular hanya selepas beberapa jam ia dimuat naik.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis (Indore), Suraj Verma, budak lelaki itu dibawa ke tempat terpencil oleh beberapa remaja bawah umur yang dikenalinya untuk bermain, namun dibelasah kumpulan itu.
“Seorang pengadu datang ke balai polis Lasudia mengadu bahawa anaknya yang berusia 12 tahun dibawa ke tempat terpencil oleh kanak-kanak kecil yang dikenalinya dan dibogelkan serta dibelasah,” kata Suraj.
Menurut kenyataan mangsa, dia didatangi sekumpulan remaja itu ketika sedang bermain dan diberitahu yang barang permainan sedang diedarkan berhampiran Best Price, sebuah pasar raya di kawasan itu.
Mangsa mengikuti mereka, namun akhirnya dibawa ke tepi sebuah kolam di mana dia dipaksa menanggalkan pakaian dan melaungkan kata-kata pujaan Hindu.
Oleh itu, satu kes didaftarkan terhadap tertuduh bawah umur di bawah Seksyen 323 (Hukuman kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela), 294 (perbuatan lucah di mana-mana tempat awam), dan 506 (ugutan jenayah) Kanun Keseksaan India serta peruntukan Keadilan Juvana (Akta Penjagaan dan Perlindungan Kanak-kanak), 2000.
Sumber: The Quint