Antarabangsa
Israel lancar serangan meriam ke atas Syria
Tentera Israel melancarkan serangan meriam ke atas Syria selepas beberapa roket dilepaskan dari wilayah Syria ke arah utara Israel, namun tidak menyebabkan kerosakan atau kematian.

- Tentera Israel berkata mereka telah melancarkan serangan meriam ke atas Syria selepas beberapa roket dilepaskan dari wilayah Syria ke arah utara Israel yang tidak menyebabkan kerosakan atau kematian.
- Perbalasan serangan rentas sempadan pada awal Ahad itu berlaku ketika Israel meningkatkan keganasan di beberapa kawasan, termasuk di Gaza, Lubnan, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki.
- Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan daripada kerajaan Syria.
Tentera Israel melancarkan serangan meriam ke atas Syria selepas beberapa roket dilepaskan dari wilayah Syria ke arah utara Israel, namun tidak menyebabkan kerosakan atau kematian.
Perbalasan serangan rentas sempadan pada awal Ahad itu berlaku ketika Israel meningkatkan keganasan di beberapa kawasan, termasuk Gaza, Lubnan, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat yang diduduki.
Menurut Aljazeera, belum ada kenyataan dikeluarkan daripada kerajaan Syria.
Tentera Israel berkata pihak mereka melancarkan serangan meriam dan dron terhadap pelancar roket di Syria.
Terdapat dua pusingan pelancaran roket dari wilayah Syria pada awal pagi Ahad.
Pelancaran yang pertama melibatkan tiga roket dan salah satunya mendarat di padang Dataran Tinggi Golan.
Pelancaran kedua, yang turut melibatkan tiga roket, membunyikan siren di wilayah utara Israel.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam pada itu, tentera Jordan berkata serpihan dari roket jatuh ke wilayahnya tetapi tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan.
TV Al Mayadeen yang berpangkalan di Lubnan berkata, pelancaran roket itu dituntut oleh Briged al-Quds iaitu sayap bersenjata gerakan Jihad Islam Palestin.
Terdahulu, tembakan roket dari Syria yang disertai dengan ketegangan Israel-Palestin itu tercetus apabila polis Israel menyerang jemaah Masjid Al-Aqsa.
Pihak polis Israel melepaskan bom tangan dan peluru keluli bersalut getah ke arah jemaah Palestin yang berkumpul untuk solat di bulan Ramadan.
Sumber: Aljazeera

You must be logged in to post a comment Login