Antarabangsa
(VIDEO) India buang naratif pemerintahan Islam daripada buku teks
India telah membuang naratif pemerintahan Islam daripada buku teks sekolah negara itu sebagai langkah bagi mengurangkan beban silibus pelajar di lebih 20 ribu sekolah awam dan swasta.
- India telah membuang naratif pemerintahan Islam daripada buku teks sekolah negara itu sebagai langkah bagi mengurangkan beban silibus pelajar di lebih 20 ribu sekolah awam dan swasta.
- Majlis Penyelidikan dan Latihan Pendidikan Kebangsaan India telah mengeluarkan buku baharu mengenai sejarah dan politik bagi kegunaan pelajar berumur 17 hingga 18 tahun pada awal April lalu.
- Naratif Islam dihapuskan termasuk kandungan mengenai Empayar Mughal iaitu kebangkitan global budaya Islam dan juga rusuhan 2002 di Gujerat mengakibatkan pembunuhan ratusan umat Islam di bawah pemerintahan Perdana Menteri Narendra Modi.
- Tindakan ini mencetuskan kemarahan ahli akademik bimbang sekiranya langkah tersebut bertujuan menghilangkan peranan penting Islam daripada sejarah negara itu.
NEW DELHI – India telah membuang naratif pemerintahan Islam daripada buku teks sekolah negara itu sebagai langkah bagi mengurangkan beban silibus pelajar di lebih 20 ribu sekolah awam dan swasta.
Lapor portal antarabangsa, Majlis Penyelidikan dan Latihan Pendidikan Kebangsaan India telah mengeluarkan buku baharu mengenai sejarah dan politik bagi kegunaan pelajar berumur 17 hingga 18 tahun pada awal April lalu.
Naratif Islam yang dihapuskan termasuk kandungan mengenai Empayar Mughal iaitu kebangkitan global budaya Islam dan juga rusuhan 2002 di Gujerat yang mengakibatkan pembunuhan ratusan umat Islam di bawah pemerintahan Perdana Menteri Narendra Modi.
Bagaimanapun, tindakan ini telah mencetuskan kemarahan ahli akademik yang bimbang sekiranya langkah tersebut bertujuan untuk menghilangkan peranan penting Islam daripada sejarah negara itu.
Persatuan ahli sejarah terbesar di Asia Selatan, Kongres Sejarah India telah mengecam perubahan tersebut dan mengatakan bahawa India telah ‘memperkenalkan persepsi yang secara terang bersifat prejudis dan tidak rasional mengenai sejarah negara’.
View this post on Instagram
“Ia adalah percubaan untuk menyesuaikan sejarah mengikut kehendak agenda majoriti masyarakat Hindu,” ujar Profesor Syed Ali Nadeem Rezavi, Setiausaha Kongres.
Dalam pada itu, Farhat Hasan, profesor sejarah Asia Selatan di Universiti Delhi juga melihat perubahan tersebut sebagai percubaan untuk ‘melenyapkan ingatan budaya kaum Mughal’.
Menurutnya, “Warisan Mughal sangat besar dan telah membentuk budaya India dengan lebih mendalam daripada hari ini. Muzik, tarian, seni bina, cita rasa masakan dan kesusasteraan India telah dibentuk oleh Mughal. Mereka membentuk budaya politik Asia Selatan selama lebih empat abad.”
Sementara itu, seorang profesor sejarah India, Aditya Mukherjee berpendapat tindakan tersebut mencetuskan trend berbahaya dan menggambarkan percubaan untuk menghapuskan nama umat Islam, pencapaian mereka, memburuk-burukkan sekali gus memusnahkan mereka.
Mengulas lanjut, Dr. Archana Ojha, Profesor Madya sejarah pula mengingatkan bahawa buku teks yang dibuat akan menjejaskan generasi muda.
Tegasnya, “Sejarah ialah penceritaan dan penilaian kritis terhadap peristiwa lampau berdasarkan bukti saintifik yang terkumpul. Semakan dalam sejarah datang apabila sumber baharu dianalisis, dinilai dan disokong oleh para sarjana.”
“Penghapusan dalam sejarah hanya akan meninggalkan jurang yang ketara yang sukar difahami oleh pelajar. Kita perlu bersuara, berbincang dengan mereka yang berkuasa, membuat suara yang waras didengari di khalayak ramai dan mendidik orang ramai sebelum lebih banyak kemudaratan berlaku,” tambahnya lagi.
Sumber: Samudera