Antarabangsa
Halalkan penggunaan alat permainan seks antara janji manifesto pilihan raya Parti Demokrat di Thailand
Membenarkan penggunaan alat permainan seks adalah antara manifesto ditawarkan oleh parti konservatif Thailand dalam usaha meraih undi menjelang pilihan raya negara gajah putih itu.

- Membenarkan penggunaan alat permainan seks antara manifesto ditawarkan oleh parti konservatif Thailand dalam usaha meraih undi menjelang pilihan raya negara gajah putih itu.
- Thailand masih mengharamkan penggunaan peralatan itu, selain majoriti penganut Buddha masih konservatif, biarpun terkenal sebagai antara negara mengamalkan seks bebas di Asia Tenggara.
- Wakil Parti Demokrat, Ratchada Thanadirek, berkata alat permainan seks sangat berguna kerana mengurangkan aktiviti pelacuran, perceraian akibat ketidakpadanan libido seksual dan jenayah berkaitan seks.
- Pelbagai alat seks kini diseludup ke Thailand biarpun sebahagian negara itu menganggapnya sebagai ‘tidak bermoral’.
BANGKOK: Membenarkan penggunaan alat permainan seks adalah antara manifesto ditawarkan oleh parti konservatif Thailand dalam usaha meraih undi menjelang pilihan raya negara gajah putih itu.
Thailand ketika ini masih mengharamkan penggunaan peralatan itu, selain majoriti penganut Buddha masih konservatif, biarpun terkenal sebagai antara negara mengamalkan seks bebas di Asia Tenggara.
Wakil Parti Demokrat, Ratchada Thanadirek, berkata alat permainan seks sangat berguna kerana boleh mengurangkan aktiviti pelacuran, perceraian akibat ketidakpadanan libido seksual dan jenayah berkaitan seks.
Beliau dalam satu kenyataan semalam, juga berkata kerajaan gagal mengutip cukai bagi pengimportan perangsang erotik, selain menjelaskan tiada kawalan kualiti ditetapkan ke atas alat seks diimport dengan beberapa kes membabitkan kegagalan ia berfungsi.
Katanya, pelbagai alat seks diseludup ke Thailand biarpun sebahagian negara itu menganggapnya sebagai ‘tidak bermoral’.
Parti Demokrat juga menyokong untuk membenarkan alat terbabit bagi individu berusia 18 tahun ke atas.
Mana-mana pihak ditahan kerana menjual alat permainan seks boleh dipenjara selama tiga tahun atau didenda AS$1,800 (RM8,008.20) biarpun ia boleh diperoleh secara mudah di jalanan di sebahagian kawasan dekat Bangkok.
Parti Demokrat adalah parti utama dalam politik Thailand sejak 1940-an, namun gagal pada pilihan raya 2019 dan sokongan semakin merosot dalam persaingan untuk undian pada 14 Mei ini dengan peratusan pengundian berada di bawah 10 peratus.
Parti tertua di Thailand itu pernah menampilkan empat perdana menteri dengan terkini adalah Abhisit Vejjajiva yang menerajui kerajaan antara 2008 hingga 2011.
Namun, popularitinya merudum selepas kontroversi pilihan raya 2019 yang mengakibatkan rampasan kuasa dan Prayut Chan-ocha dinamakan sebagai perdana menteri seterusnya.
Parti itu terbabit dalam skandal seks tahun lalu apabila 14 wanita secara rasmi memfailkan aduan terhadap bekas Timbalan Ketuanya, Prinn Panitchpakdi yang menafikan dakwaan berkenaan dengan kes itu sedang dibicarakan di mahkamah. – AFP
Sumber: Berita Harian
