Connect with us

Terkini

Dua tahun SK Perigi Acheh uzur, sehingga hari ini tiada kerja baik pulih

Sudah dua tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di sini, dikosongkan berikutan struktur bangunan yang uzur, namun sehingga hari ini tiada kerja baik pulih dijalankan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Dua tahun SK Perigi Acheh uzur, sehingga hari ini tiada kerja baik pulih
Foto: Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh.
  • Sudah dua tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di sini, dikosongkan berikutan struktur bangunan yang uzur, namun sehingga hari ini tiada kerja baik pulih dijalankan.
  • Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan ibu bapa kira-kira 120 murid sekolah berkenaan kerana terpaksa memperjudikan keselamatan setiap hari untuk ke sekolah sementara yang terletak sejauh 20 kilometer dari kediaman mereka.
  • Pengawal keselamatan, Zamiah Md Zam, 40, berkata pada November 2021 murid SK Perigi Acheh diminta untuk berpindah sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat di sini berikutan sekolah di kampung berkenaan sudah uzur dan tidak selamat.
  • Katanya, apa yang dikesalkan tiada langsung tanda-tanda kerja baik pulih SK Perigi Acheh dijalankan biarpun murid ditempatkan sementara di SK Tanjung Langsat selama dua tahun.

Pasir Gudang: Sudah dua tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh di sini, dikosongkan berikutan struktur bangunan yang uzur, namun sehingga hari ini tiada kerja baik pulih dijalankan.

Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan ibu bapa kira-kira 120 murid sekolah berkenaan kerana terpaksa memperjudikan keselamatan setiap hari untuk ke sekolah sementara yang terletak sejauh 20 kilometer dari kediaman mereka.

Pengawal keselamatan, Zamiah Md Zam, 40, berkata pada November 2021 murid SK Perigi Acheh diminta untuk berpindah sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat di sini berikutan sekolah di kampung berkenaan sudah uzur dan tidak selamat.

Katanya, apa yang dikesalkan tiada langsung tanda-tanda kerja baik pulih SK Perigi Acheh dijalankan biarpun murid ditempatkan sementara di SK Tanjung Langsat selama dua tahun.

“Penduduk kampung bukan kebanyakannya nelayan, suri rumah dan bekerja kampung terpaksa membelanjakan RM50 hingga RM60 sebulan seorang anak untuk tambang bas ke SK Tanjung Langsat.

“Jadi ramai antara kami menghantar anak sendiri dengan menaiki motosikal, ada juga yang menumpangkan jiran.

“Struktur jalan yang berlubang dan tidak rata ekoran pembinaan jambatan, selain keadaan air pasang besar di jalan utama yang menghubungkan Kampung Perigi Acheh dengan jalan besar amat menyukarkan dan memberi risiko keselamatan kepada kami serta anak-anak,” katanya ketika ditemui di SK Perigi Acheh di sini, semalam.

Manakala Suri rumah, Salina Saad, 38, berkata SK Perigi Acheh yang mula beroperasi pada 1999, sememangnya sudah uzur termasuk lantai papan reput.

Namun katanya tempoh yang lama untuk dibaik pulih mendatangkan kesan buruk, terutama aspek keselamatan kepada ibu bapa yang berulang menghantar anak ke sekolah sementara.

“Saya sendiri menghantar dua orang anak berusia sembilan dan 11 tahun setiap hari menaiki motosikal ke sekolah. Kalau sebelum ini di SK Perigi Acheh, saya tidak perlu fikirkan untuk menghantar mereka kerana berjalan sahaja ke sekolah.

“Saya pernah hampir kemalangan dengan lori kerana jalan berlubang selain banyak lori pembinaan yang keluar masuk. Bukan itu sahaja, dalam sebulan kami berhadapan air pasang besar sebanyak tiga kali yang menyebabkan pelajar tidak boleh masuk ke kampung, kerana air setinggi lutut. Begitu juga ibu bapa tidak boleh ambil anak mereka ketika air pasang.

“Saya pernah menunggu tiga jam untuk air surut sebelum ke SK Tanjung Langsat untuk ambil anak,” katanya.

Menurut Salina, penduduk kampung mahu Kementerian Pendidikan menyelesaikan masalah itu secara jangka masa pendek terlebih dahulu.

“Kalau hendak bina sekolah baru ambil masa yang lama. Dua tahun ini pun tiada apa yang dilakukan.

“Kami pernah dijanjikan untuk kabin sementara diletakkan di sekitar SK Perigi Acheh, bagi menempatkan pelajar sekolah tetapi hingga hari ini tiada satu kabin pun diletakkan di situ,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Fauzi Faizal berkata pihaknya akan menulis surat secara rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor berhubung isu ini yang perlu diberikan keutamaan.

“Saya menyeru kerajaan terutama Kementerian Pendidikan untuk mempercepatkan pembinaan SK Perigi Acheh ini.

“Beri keutamaan dalam proses membaik pulih sekolah ini, kerana ia memberi impak yang besar buat penduduk,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Author