Antarabangsa
China rekodkan kematian pertama selesema burung H3N8
Seorang wanita meninggal dunia akibat dijangkiti selesema burung H3N8 di China, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
- Seorang wanita meninggal dunia akibat dijangkiti selesema burung H3N8 di China, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
- Ia merupakan kes kematian manusia pertama yang dilaporkan akibat virus influenza burung.
- Wanita itu jatuh sakit pada 22 Februari, dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru teruk pada 3 Mac dan meninggal dunia pada 16 Mac lalu, kata WHO.
Seorang wanita meninggal dunia akibat dijangkiti selesema burung H3N8 di China, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.
Ia merupakan kes kematian manusia pertama yang dilaporkan akibat virus influenza burung.
Menurut Al Arabia News, H3N8 dilaporkan tersebar sejak 2002 selepas pertama kali muncul dalam unggas air Amerika Utara dan menjangkiti kuda, anjing dan anjing laut.
Sebelum ini, virus itu tidak dikesan pada manusia sehingga terdapatnya dua kes yang tidak membawa maut.
Kedua-dua kes itu dilaporkan di China pada April dan Mei tahun lepas.
Dalam pada itu, wanita yang maut itu berusia 56 tahun dari wilayah Guangdong di tenggara China.
Dia jatuh sakit pada 22 Februari, dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru teruk pada 3 Mac dan meninggal dunia pada 16 Mac lalu, kata WHO.
“Pesakit mempunyai pelbagai keadaan asas. Dia mempunyai sejarah pendedahan kepada ternakan hidup sebelum penyakit itu muncul, dan sejarah kehadiran burung liar di sekitar rumahnya,” kata agensi kesihatan PBB itu dalam satu kenyataan.
“Tiada kenalan rapat kes itu mengalami jangkitan atau gejala penyakit pada masa laporan,” katanya.
“Masih tidak jelas apakah sumber sebenar jangkitan ini dan bagaimana virus ini berkait dengan virus selesema burung A(H3N8) lain yang tersebar dalam haiwan,” kata WHO yang menggesa pemeriksaan haiwan dan manusia selanjutnya.
Daripada dua kes tahun lalu, seorang menghidap penyakit kritikal, manakala seorang lagi menghidap penyakit ringan. Kedua-dua kes berkemungkinan mendapat jangkitan daripada pendedahan langsung atau tidak langsung kepada ayam yang dijangkiti, kata badan dunia itu.
“Nampaknya virus ini tidak mempunyai keupayaan untuk merebak dengan mudah dari individu ke individu yang lain, oleh itu risiko ia merebak di kalangan manusia di peringkat negara, serantau dan antarabangsa dianggap rendah,” kata WHO.
Sumber: Al Arabia News