Antarabangsa
Bendung serangan dan keganasan di sekolah, Brazil umum sekatan baharu media sosial
Kerajaan Brazil pada Rabu mengumumkan sekatan baharu dalam media sosial bertujuan membendung serangan ganas di sekolah, seminggu selepas insiden seorang penyerang bersenjatakan kapak membunuh empat kanak-kanak.

- Kerajaan Brazil pada Rabu mengumumkan sekatan baharu dalam media sosial bertujuan membendung serangan ganas di sekolah, seminggu selepas insiden seorang penyerang bersenjatakan kapak membunuh empat kanak-kanak.
- Menteri Keadilan Brazil, Flavio Dino, berkata rangkaian laman web akan diarahkan untuk menyekat kandungan serta pengguna yang ‘mempromosikan atau menyokong serangan atau keganasan ke atas sekolah.’
- Syarikat media sosial juga dikehendaki menghantar data kepada polis mengenai semua pengguna yang kongsikan kandungan berunsur keganasan, dan menyekat mereka daripada membuat profil baharu.
- Beliau berkata, platform media sosial yang tidak mematuhi arahan itu boleh didenda hingga 12 juta real (AS$2.4 juta) dan laman sesawang mereka berkemungkinan akan digantung oleh pihak berkuasa persekutuan.
BRASÍLIA: Kerajaan Brazil pada Rabu mengumumkan sekatan baharu dalam media sosial bertujuan membendung serangan ganas di sekolah, seminggu selepas insiden seorang penyerang bersenjatakan kapak membunuh empat kanak-kanak.
Menteri Keadilan Brazil, Flavio Dino, berkata rangkaian laman web akan diarahkan untuk menyekat kandungan serta pengguna yang ‘mempromosikan atau menyokong serangan atau keganasan ke atas sekolah.’
Syarikat media sosial juga dikehendaki menghantar data kepada polis mengenai semua pengguna yang kongsikan kandungan berunsur keganasan, dan menyekat mereka daripada membuat profil baharu.
Beliau berkata, platform media sosial yang tidak mematuhi arahan itu boleh didenda hingga 12 juta real (AS$2.4 juta) dan laman sesawang mereka berkemungkinan akan digantung oleh pihak berkuasa persekutuan.
Rabu minggu lalu, empat kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun, terbunuh di sebuah prasekolah di bandar Blumenau, Santa Catarina, akibat diserang seorang lelaki yang memasuki premis itu dengan bersenjatakan kapak .
“Wujud situasi kecemasan dengan insiden serangan secara meluas, ancaman serangan dan panik dalam kalangan keluarga serta warga di sekolah,” katanya yang berikrar untuk melaksanakan ‘peraturan ketat’ bagi penggunaan media sosial dalam usaha membendung perkara itu.
Dalam laman media sosial dan perkhidmatan kumpulan pesanan seperti WhatsApp, pengguna membuat spekulasi mengenai jangkaan berlaku keganasan baharu di Brazil pada 20 April ini.
Menteri Keadilan Brazil memaklumkan, pihak berkuasa persekutuan telah mengesyorkan supaya polis tempatan dan negeri meningkatkan rondaan dalam beberapa hari akan datang.
Sumber: Berita Harian
