Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) 90 maut akibat ajaran sesat ‘berlapar jika mahu temui Tuhan’

Jumlah kematian mangsa ajaran sesat di Kenya yang menuntut pengikutnya berlapar sehingga mati ‘jika mahu temui Tuhan’, meningkat kepada 90 mayat semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

90 maut akibat ajaran sesat ‘berlapar jika mahu temui Tuhan’
Foto: Mayat yang ditemui di kawasan hutan dekat Shakahola.
  • Jumlah kematian mangsa ajaran sesat di Kenya yang menuntut pengikutnya berlapar sehingga mati ‘jika mahu temui Tuhan’, meningkat kepada 90 mayat semalam.
  • Sebahagian besar mangsa ajaran sesat Gereja Good News International itu adalah kanak-kanak 
  • Operasi mencari baki mayat dihentikan sementara kerana semua rumah mayat sudah penuh.
  • Penemuan kubur besar di hutan Shakahola dekat pekan pesisir pantai Malindi mengejutkan seluruh Kenya, selepas ketua ajaran sesat itu, Paul Mackenzie Nthenge, dituduh memaksa pengikutnya berlapar sebagai satu-satunya cara menemui Tuhan.
  • Pihak berkuasa khuatir akan ada lebih banyak mayat selepas 17 mayat ditemui semalam dengan sebahagian besarnya kanak-kanak, berhubung jenayah yang kini digelar ‘Pembunuhan Hutan Shakahola’.

SHAKAHOLA: Jumlah kematian mangsa ajaran sesat di Kenya yang menuntut pengikutnya berlapar sehingga mati ‘jika mahu temui Tuhan’, meningkat kepada 90 mayat semalam.

Menurut pihak polis, sebahagian besar mangsa ajaran sesat Gereja Good News International itu adalah kanak-kanak dan operasi mencari baki mayat dihentikan sementara kerana semua rumah mayat sudah penuh.

Penemuan kubur besar di hutan Shakahola dekat pekan pesisir pantai Malindi mengejutkan seluruh Kenya, selepas ketua ajaran sesat itu, Paul Mackenzie Nthenge, dituduh memaksa pengikutnya berlapar sebagai satu-satunya cara menemui Tuhan.

Pihak berkuasa khuatir akan ada lebih banyak mayat selepas 17 mayat ditemui semalam dengan sebahagian besarnya kanak-kanak, berhubung jenayah yang kini digelar ‘Pembunuhan Hutan Shakahola’.

Menteri Dalam Negeri, Kithure Kindiki, berkata belum dapat dipastikan berapa ramai sebenarnya yang terbunuh atau berapa banyak kubur yang ada tetapi jenayah yang dilakukan sudah cukup bagi mendakwa Nthenge atas tuduhan keganasan.

“Terdapat beberapa orang yang diberi tugas memastikan pengikut ajaran sesat itu berlapar sehingga mati sedangkan mereka sendiri boleh makan dan minum, atas alasan kononnya mereka mempersiapkan pengikut terbabit untuk menemui Tuhan.

“Setakat ini, 34 orang ditemui masih hidup di kawasan hutan seluas 325 hektar ini,” katanya kepada pemberita.

Menurut tiga sumber berbeza, majoriti mangsa adalah kanak-kanak, yang dipaksa berlapar oleh ibu bapa mereka sendiri, sekali gus membuktikan betapa kejamnya amalan kumpulan itu.

Seorang pegawai Jabatan Pengarah Siasatan Jenayah (DCI) turut mengesahkan bahawa lebih separuh mangsa adalah kanak-kanak, diikuti wanita.

Pengarah Eksekutif Haki Afrika, Hussein Khalid, iaitu kumpulan hak asasi manusia yang mendedahkan kumpulan ajaran sesat itu kepada polis, memberitahu AFP bahawa kumpulan itu menetapkan kanak-kanak harus berlapar dulu, diikuti wanita dan lelaki.

Katanya, 50 hingga 60 peratus mangsa adalah kanak-kanak, yang mayat mereka ditemui dibalut dengan kain kapas.

“Kekejaman yang saya saksikan sejak empat hari lalu amat traumatik, amat menyayat hati apabila menemui kubur cetek dipenuhi mayat kanak-kanak,” katanya.

Penyiasat memberitahu AFP bahawa mayat mangsa ditolak masuk secara paksa ke dalam kubur cetek, dengan ada yang mengandungi enam mayat dalam satu lubang, manakala ada yang dibiarkan di tempat terbuka.

Pegawai DCI memberitahu AFP bahawa kadar kematian akan terus meningkat dan mereka terpaksa menghentikan sementara pencarian sehingga mayat sedia ada selesai dibedah siasat dan terdapat ruang di rumah mayat bagi meletakkan mayat lain.

Pihak berkuasa juga percaya masih ada pengikut ajaran sesat Gereja Good News International yang diketuai Nthenge itu terus bersembunyia di sekitar Shakahola dan berisiko mati jika tidak ditemui segera.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *