Terkini
Tun M beri tujuh hari untuk Anwar tarik balik kenyataan fitnah
Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
- Tun Dr Mahathir Mohamad beri tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
- Notis tuntutan itu sudah diserahkan beliau menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.
- “Tuduhan dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbilion ringgit dan agih untuk keluarga saya, anak saya dan sebagainya dan saya adalah seorang ‘scoundrel’ (orang yang jahat).
- “Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.
- “Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (Perdana Menteri), sekarang dia Perdana Menteri dan Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat pada Kongres Nasional Khas PKR 2023, baru-baru ini.
Bekas Perdana Menteri berkata, notis tuntutan itu sudah diserahkan beliau menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Beliau berkata, biarpun Anwar tidak menyebut namanya tetapi berdasarkan laporan media, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.
“Tuduhan dilempar terhadap diri saya iaitu saya ada berbilion ringgit dan agih untuk keluarga saya, anak saya dan sebagainya dan saya adalah seorang ‘scoundrel’ (orang yang jahat).
“Ini memberi gambaran yang amat buruk terhadap diri saya, ia adalah satu fitnah, melainkan dia boleh tunjuk bukti bahawa saya sudah dapat berbilion ringgit dan melarikan duit itu ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.
“Banyak tuduhan dibuat dalam ucapan ini, walaupun saya dulu, biasa dengar dia kata lebih kurang macam ini, tapi waktu itu dia bukan (Perdana Menteri), sekarang dia Perdana Menteri dan Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, tidak boleh membuat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti jelas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil.
“Ucapan itu juga dilapor media dan sosial media dan nama saya diguna, jelas sekali ucapannya adalah satu fitnah terhadap diri saya dan bukan orang lain, kerana sayalah orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan, jadi Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7.
“Tujuannya untuk memburukkan nama saya dengan tuduhan tidak berasas, sebab itu saya minta untuk tarik balik dan tunjuk bukti,” katanya.
Beliau juga mendakwa kenyataan dibuat Anwar itu sehari sebelum orang Melayu merancang untuk melancar proklamasi Melayu.
“Jadi jelas bahawa dia cuba menghalang proklamasi ini dan tidak dapat lancar proklamasi ini kerana dihalang oleh pihak berkuasa.
“Proklamasi ini bukan berbaur perkauman, tidak menuduh kaum lain berkenaan apa yang terjadi kepada orang Melayu, sebaliknya kitatuduh pemimpin Melayu sendiri yang menyebabkan orang Melayu menghadapi banyak masalah.
“Ia tidak boleh dikatakan perkauman dan kononnya saya nak timbulkan perasaan benci orang Melayu terhadap kaum lain. Kita semua berasa benci dengan pemimpin Melayu sendiri yang merosakkan masa depan orang Melayu,” katanya.
Semalam Dr Mahathir dalam satu kenyataan menuntut Anwar Ibrahim, mengemukakan bukti kononnya beliau membolot kekayaan untuk diri dan keluarganya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan tanpa disertakan dengan bukti yang jelas, tidak boleh diterima sebagai perkara benar, selain ia adalah fitnah.
Sumber: Berita Harian