Antarabangsa
Tiada prospek penyelesaian rundingan dalam krisis di Myanmar, kata PBB
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan tiada prospek untuk penyelesaian dirundingkan dalam krisis di Myanmar, buat masa ini, berikutan pihak tentera dan penentang pemerintahan junta dilihat masing-masing nekad untuk menang melalui kekerasan yang menyaksikan gelombang bantahan rakyat tidak menunjukkan sebarang tanda reda di sebahagian besar negara bergolak itu.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan tiada prospek untuk penyelesaian dirundingkan dalam krisis di Myanmar, berikutan pihak tentera dan penentang pemerintahan junta dilihat nekad untuk menang melalui kekerasan menyaksikan gelombang bantahan rakyat tidak menunjukkan sebarang tanda reda di sebahagian besar negara bergolak itu.
- Utusan khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer memaklumkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, rampasan kuasa oleh tentera pada Februari 2021 mengakibatkan kemusnahan, malah keganasan kini berterusan pada skala membimbangkan.
- Myanmar berada bawah pemerintahan keras tentera selama lima dekad, sebelum Aung San Suu Kyi mengambil alih pentadbiran sebagai pemimpin yang dipilih rakyat pada 2015.
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan tiada prospek untuk penyelesaian dirundingkan dalam krisis di Myanmar, buat masa ini, berikutan pihak tentera dan penentang pemerintahan junta dilihat masing-masing nekad untuk menang melalui kekerasan yang menyaksikan gelombang bantahan rakyat tidak menunjukkan sebarang tanda reda di sebahagian besar negara bergolak itu.
Utusan khas PBB ke Myanmar, Noeleen Heyzer memaklumkan kepada 193 anggota Perhimpunan Agung PBB, semalam, rampasan kuasa oleh tentera pada Februari 2021 mengakibatkan ‘kemusnahan’, malah keganasan kini berterusan ‘pada skala membimbangkan.’
Beliau antara lain memberi contoh dakwaan peningkatan tindakan keras oleh tentera Myanmar sejak perintah darurat dilanjutkan pada 1 Februari lalu, termasuk pengeboman, pembakaran infrastruktur awam serta ‘pelanggaran hak asasi manusia yang amat teruk untuk mengekalkan kuasa.’
Heyzer mendakwa, strategi ’empat sekatan’ yang digunakan tentera Myanmar, iaitu menyekat akses kepada makanan, dana, maklumat dan rekrut, turut menyasarkan orang awam sebagai hukuman kolektif.
Myanmar berada bawah pemerintahan keras tentera selama lima dekad, sebelum Aung San Suu Kyi mengambil alih pentadbiran sebagai pemimpin yang dipilih rakyat pada 2015.
Heyzer berkata, generasi yang mengecapi manfaat daripada keterbukaan Myanmar pada 2015, khususnya golongan muda, kini dalam kekecewaan dan berdepan kesukaran kronik, malah ramai melihat tiada lagi cara selain daripada mengangkat senjata untuk menentang pemerintahan tentera.
Katanya, pertempuran sengit juga merebak ke kawasan baharu, sekali gus meletakkan semakin banyak nyawa dalam risiko serta menyukarkan operasi penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan kira-kira 17.6 juta penduduk Myanmar ketika ini.
Beliau turut menekankan, pelaksanaan pilihan raya yang dirancang pihak tentera, tahun ini, berisiko memburukkan lagi keganasan kerana ia bakal diadakan dalam keadaan rakyat Myanmar disekat daripada menggunakan hak politik secara bebas tanpa rasa takut atau ugutan.
“Orang awam tidak mempunyai sebarang kepercayaan terhadap rejim berkenaan yang dilihat hanya berhasrat memperkukuh penguasaan dengan mengubah daripada pemerintahan darurat kepada pentadbiran kerajaan yang disokong tentera untuk jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, Heyzer berkata, pihaknya baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi atas kapasiti negara berkenaan mempengerusikan ASEAN kini, antara lain antaranya menyentuh mengenai keperluan menyegerakan kemajuan secara konkrit dalam konsensus lima perkara (5PC) yang dipersetujui blok berkenaan pada April 2021 untuk memulihkan keamanan di Myanmar.
Myanmar mempersetujui langkah 5PC tetapi masih belum melaksanakannya. Konsensus itu menggesa supaya keganasan dihentikan, dialog konstruktif diadakan dengan semua pihak, pelantikan utusan khas ASEAN sebagai pengantara, bantuan kemanusiaan serta lawatan pengantara ke Myanmar yang merangkumi pertemuan dengan Suu Kyi.
Sumber: Berita Harian