Terkini
Pindaan RUU 355 dalam penelitian kerajaan – Menteri Agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sedang dalam tindakan dan penelitian kerajaan perpaduan hari ini.

- Pindaan tersebut adalah merujuk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
- Ia dalam tindakan memandangkan JAKIM akan membentangkan semula Memorandum Jemaah Menteri berhubung itu.
- Akta itu akan dibawa dengan akta baharu iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
- Kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan di parlimen secara bersekali setelah mendapat persetujuan jemaah menteri. – Menteri Agama
- Ini bagi memastikan hasrat untuk memperkasakan matlamat Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sedang dalam tindakan dan penelitian kerajaan perpaduan hari ini.
Menurut beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan membentangkan semula Memorandum Jemaah Menteri berhubung dengan pindaan tersebut.
Katanya, pembentangan itu bertujuan bagi mendapatkan persetujuan dasar berikutan perubahan kerajaan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan dibawa ke Parlimen bersama dengan suatu akta baharu iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dengan tujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir berkaitan status RUU355 yang masih tertangguh hingga waktu ini memandangkan bidang kuasa mahkamah syariah lebih rendah daripada mahkamah majistret.
Katanya, kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan di parlimen secara bersekali setelah mendapat persetujuan jemaah menteri.
Ujarnya, ini bagi memastikan hasrat untuk memperkasakan matlamat Mahkamah Syariah dapat direalisasikan.
Pada 19 Oktober lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, RUU355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran parlimen disebabkan PRU15. – The Merdeka Times
