Antarabangsa
Persatuan Kanser Kanada syor lelaki jalani pemeriksaan kanser serviks
Persatuan Kanser Kanada dikritik kerana mengekalkan saranan bahawa lelaki yang mengaku sebagai wanita juga perlu menjalani pap smear sebagai sebahagian proses pemeriksaan kanser serviks, demikian lapor Reduxx.

- Persatuan Kanser Kanada dikritik kerana mengekalkan saranan bahawa lelaki yang mengaku sebagai wanita juga perlu menjalani pap smear.
- Laman web rasmi persatuan itu memberi panduan kepada lelaki yang mengaku sebagai wanita mengenai kanser serviks.
- Panduan itu bertentangan arahan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom (UK) yang jelas menyatakan lelaki tidak perlu menjalani pemeriksaan tersebut kerana tidak mempunyai serviks.
Persatuan Kanser Kanada dikritik kerana mengekalkan saranan bahawa lelaki yang mengaku sebagai wanita juga perlu menjalani pap smear sebagai sebahagian proses pemeriksaan kanser serviks, demikian lapor Reduxx.
Di laman web badan amal kanser kebangsaan terbesar di Kanada itu, terdapat bahagian yang menjelaskan soalan yang menyebut “sebagai wanita trans, adakah saya perlu menjalani pemeriksaan untuk kanser serviks?”.
Jawapan Persatuan Kanser Kanada kepada soalan berkenaan memberikan panduan kepada lelaki yang mengaku sebagai wanita mengenai kanser khusus wanita itu.
“Jika anda seorang wanita trans, anda mungkin jarang memikirkan ujian Pap dan kanser serviks. Dan ia difahami jika anda belum melakukannya. Lagipun, untuk mendapat kanser serviks, anda perlu mempunyai serviks – iaitu, organ yang menghubungkan faraj ke rahim,” kata laman web itu.
Ia seterusnya menyatakan ‘wanita trans’ yang telah “melalui pembedahan bahagian bawah untuk mencipta faraj dan mungkin serviks” harus berbincang dengan profesional perubatan untuk “mengetahui keperluan pemeriksaan kanser khusus.”
Panduan itu sangat berbeza dengan arahan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) United Kingdom (UK) yang menyatakan dengan jelas bahawa lelaki tidak mempunyai serviks, maka mereka tidak perlu menjalani pemeriksaan kanser tersebut.
“Jika anda seorang wanita trans atau orang bukan binary (tidak berjantina) yang dilahirkan sebagai lelaki, anda tidak memerlukan pemeriksaan serviks kerana anda tidak mempunyai serviks,” demikian menurut laman web NHS.
Panduan itu turut disahkan Penyelidikan Kanser UK yang menyatakan “wanita trans tidak mempunyai serviks, jadi tidak perlu mempertimbangkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan serviks”.
Panduan itu dikecam netizen di Twitter, terutamanya wanita, dan ada juga yang mahu berhenti menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Kanser Kanada.
Sumber: Reduxx
