Terkini
Perlu ada undang-undang lindungi warga emas daripada diabaikan keluarga
Warga emas harus membuat persiapan bermula sekarang untuk menghadapi hari tua yang bukan sahaja dari segi kewangan yang stabil, bahkan juga aktiviti spiritual yang berterusan.
- Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Rozmi Ismail berkata, sokongan kepada cadangan kerajaan menggubal undang-undang bagi melindungi warga emas daripada diabaikan oleh keluarga harus diberikan.
- “Kalau di peringkat kanak-kanak sudah ada undang-undang yang mana sekiranya ibu bapa abaikan kanak-kanak atau membiarkan anak-anak terjebak dalam perkara tidak elok, ibu bapa boleh didakwa.
- “Kalau kita boleh jaga anak-anak semasa mereka kecil, kenapa tidak boleh jaga mereka semula bila kita kembali menjadi seperti kanak-kanak. (Undang-undang) Itu satu perkara yang bagus,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI yang mengupas tajuk ‘Golongan Tua Paling Murung di Malaysia?’.
KUALA LUMPUR: Warga emas harus membuat persiapan bermula sekarang untuk menghadapi hari tua yang bukan sahaja dari segi kewangan yang stabil, bahkan juga aktiviti spiritual yang berterusan.
Sehubungan itu, Timbalan Dekan (Siswazah), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Rozmi Ismail berkata, sokongan kepada cadangan kerajaan menggubal undang-undang bagi melindungi warga emas daripada diabaikan oleh keluarga harus diberikan.
“Kalau di peringkat kanak-kanak sudah ada undang-undang yang mana sekiranya ibu bapa abaikan kanak-kanak atau membiarkan anak-anak terjebak dalam perkara tidak elok, ibu bapa boleh didakwa.
“Inisiatif baharu ini sama juga, ibu bapa ini bila sampai satu masa akan kembali kepada anak-anak. Ini satu kitaran. Saya sokong undang-undang baharu ini.
Warga emas perlu perlindungan undang-undang, kewangan stabil dan kekuatan spiritual
“Kalau kita boleh jaga anak-anak semasa mereka kecil, kenapa tidak boleh jaga mereka semula bila kita kembali menjadi seperti kanak-kanak. (Undang-undang) Itu satu perkara yang bagus,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru terbitan Astro AWANI yang mengupas tajuk ‘Golongan Tua Paling Murung di Malaysia?’.
Dalam dialog itu, Rozmi turut menyentuh berkenaan kekuatan kewangan warga emas dalam melayari usia persaraan.
Tegas beliau, masyarakat tidak boleh terlalu teruja apabila menerima pelbagai wang persaraan sehingga dibelanjakan tanpa perancangan yang baik.
“Pertama, kewangan kena kukuh. Jangan bergantung dengan anak-anak. Jika mereka beri, terimalah. Tetapi jika tidak diberi, jangan meminta. Jangan boros.
“Kita tahu ketika pencen banyak duit yang diperolehi sama ada golden handshake, wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang nilainya boleh mencecah ratus-ratus ribu. Jadi bila dia rasa dia kaya, macam-macam dia belanjakan akhirnya tidak sampai setahun dia kembali miskin.” jelasnya.
Selain isu kewangan, Rozmi juga menekankan soal kesihatan fizikal yang perlu dijaga dari awal sementara dari aspek kesihatan mental pula, warga emas tidak boleh meninggalkan aspek spiritual dalam kehidupan.
“Kedua, kesihatan paling penting. Jaga kesihatan dari sekarang. Jangan tunggu hingga alami keadaan yang membahayakan seperti gula naik dan sebagainya.
“Ketiga, elemen spiritual. Makin lama kita akan ada satu kesedaran untuk mencari Tuhan dan kita gunakan ini sebagai agen untuk tingkatkan kualiti hidup melalui elemen spiritual. Kalau kita boleh gabungkan itu sangat bagus. Kebanyakan negeri khususnya di Pantai Timur ada satu pesantren atau pondok untuk orang tua. Sangat bagus kalau boleh kita kembangkan,” tambah beliau lagi.
Sumber: Astro Awani