Terkini
Perbelanjaan berhemat kerajaan elak keperluan laksana cukai baharu, GST
Perbelanjaan berhemat membolehkan kerajaan tiada keperluan untuk melaksanakan cukai baharu atau meninjau kepada pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 12 hingga 15 bulan ini.

- Kerajaan masih punyai ruang untuk kawal perbelanjaan terutamanya pembangunan supaya lebih berhemat dan lebih tepat dengan perancangan, malah perbelanjaan berhemat juga bantu dari segi keperluan kutipan hasil. – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
- Dengan kawal pelaksanaan projek pembangunan dengan baik dan pastikan projek diluluskan dilaksanakan ikut peruntukan ditetapkan tanpa kenaikan kos dari satu tahun ke satu tahun, sudah pasti keperluan berbelanja menjadi kurang.
- “Dengan kedudukan defisit perbelanjaan ketika ini, maksudnya setiap projek pembangunan yang dibuat oleh kerajaan itu perlu dibayar dengan hutang. Jadi, kalau kurang kenaikan kos, projek berjalan baik dan tiada kelewatan dan sebagainya, maka kuranglah keperluan peruntukan.
- “Apabila keperluan peruntukan itu berkurang, maka kurang berhutang. Apabila kurang berhutang maka kurang bayar hutang,” katanya pada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di ‘HSBC Asian Business Forum’ di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan berhemat membolehkan kerajaan tiada keperluan untuk melaksanakan cukai baharu atau meninjau kepada pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh 12 hingga 15 bulan ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan masih mempunyai ruang untuk mengawal perbelanjaan terutamanya pembangunan supaya lebih berhemat dan lebih tepat dengan perancangan, malah perbelanjaan yang berhemat juga akan membantu dari segi keperluan kutipan hasil.
Jelasnya, dengan mengawal pelaksanaan projek pembangunan dengan baik dan memastikan projek yang diluluskan dilaksanakan mengikut peruntukan yang ditetapkan tanpa kenaikan kos dari satu tahun ke satu tahun, sudah pasti keperluan untuk berbelanja menjadi kurang.
“Dengan kedudukan defisit perbelanjaan ketika ini, maksudnya setiap projek pembangunan yang dibuat oleh kerajaan itu perlu dibayar dengan hutang. Jadi, kalau kurang kenaikan kos, projek berjalan baik dan tiada kelewatan dan sebagainya, maka kuranglah keperluan peruntukan.
“Apabila keperluan peruntukan itu berkurang, maka kurang berhutang. Apabila kurang berhutang maka kurang bayar hutang,” katanya pada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di ‘HSBC Asian Business Forum’ di sini, hari ini.
Sementara itu, Rafizi berkata peralihan kepada GST adalah sesuai ketika majoriti pendapatan rakyat lebih baik dan mencapai paras pendapatan wajar untuk membayar cukai pendapatan.
Beliau berkata, GST yang dilaksanakan secara terburu-buru akan menjejaskan mereka yang belum mencapai paras gaji lebih baik dan secara tidak langsung mereka perlu membayar cukai dengan GST.
“Justeru, kita perlu sampai ke satu peringkat yang mana gaji rakyat itu lebih baik, barulah apabila dilaksanakan, GST itu menjadi lebih progresif.
“Oleh sebab itu, kita tidak pertimbangkan GST lagi dan perlu memperketatkan segala yang kita ada dalam kawalan dan pada masa sama menggerakkan ekonomi supaya lebih ramai mendapat gaji lebih tinggi.
“Dengan keadaan itu, barulah ia membuka ruang kepada kerajaan mempertimbangkan kaedah kutipan yang lebih baik,” katanya.
Sumber: Berita Harian
