Antarabangsa
Lelaki saman USD1 juta tiga wanita bantu bekas isteri gugurkan kandungan
Seorang lelaki menyaman tiga wanita kerana membantu bekas isterinya mendapatkan pil untuk menggugurkan kandungan tahun lalu.

- Seorang lelaki di Texas, Amerika Syarikat (AS) menyaman tiga wanita kerana membantu bekas isterinya mendapatkan pil untuk menggugurkan kandungan.
- Marcus Silva menuntut ganti rugi satu juta dolar di mahkamah.Â
- Ketiga-tiga wanita itu didakwa menghantar mesej kepada bekas isterinya mengenai maklumat tentang Aid Access, sebuah kumpulan antarabangsa menyediakan ubat-ubatan pengguguran secara penghantaran.
- Tuntutan mahkamah mendakwa mereka memberitahu bekas isteri Silva menyembunyikan kehamilan dan mesej mereka tentang bayi itu daripada plaintif (pengadu).
TEXAS – Seorang lelaki menyaman tiga wanita kerana membantu bekas isterinya mendapatkan pil untuk menggugurkan kandungan tahun lalu.
Lelaki itu, Marcus Silva menuntut ganti rugi satu juta dolar.
BBC melaporkan tuntutan itu dibuat di bawah undang-undang Texas yang menyebut “individu membantu wanita mengandung untuk melakukan pengguguran yang diuruskan sendiri akan didakwa melakukan jenayah pembunuhan”.
Bukti dalam kes itu bergantung kepada mesej di antara bekas isteri Silva dan tiga wanita yang merupakan rakan kepada isterinya, di mana ketiga-tiga wanita itu didakwa menghantar mesej kepada bekas isterinya mengenai maklumat tentang Aid Access, sebuah kumpulan antarabangsa menyediakan ubat-ubatan pengguguran secara penghantaran.
Mesej di antara wanita-wanita itu juga mendedahkan bekas isteri Silva bimbang suaminya akan membatalkan tuntutan perceraiannya jika dia mengetahui tentang kehamilan itu.
Ketiga-tiga tertuduh juga berdepan dengan pertuduhan konspirasi – tuntutan mahkamah mendakwa mereka memberitahu bekas isteri Silva untuk menyembunyikan kehamilan serta mesej mereka tentang bayi itu daripada plaintif (pengadu).
Bekas isteri Silva memfailkan perceraian pada Mei 2022 sebelum ia dimuktamadkan pada Februari lalu.
Tuntutan mahkamah mendakwa dia mengetahui tentang kehamilannya pada Julai 2022, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan kes Roe v Wade, sebulan sebelum undang-undang negeri yang melarang pengguguran mula dikuatkuasa.
Di bawah undang-undang negeri itu penyediakan bantuan pengguguran adalah tindakan jenayah dan boleh dihukum penjara seumur hidup kecuali pengguguran itu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa ibu mengandung.
Texas meluluskan undang-undang yang mengharamkan pengguguran selepas enam bulan kehamilan pada 2021. Ia memberi hak kepada masyarakat untuk menyaman mana-mana pihak yang “dengan sengaja terlibat dalam membantu atau bersubahat dengan pelaksanaan atau dorongan pengguguran”.
Silva diwakili wakil negeri Republikan, Briscoe Cain dan Jonathan Mitchell, bekas peguamcara negara yang membantu dalam penulisan salah satu larangan pengguguran di Texas.
Sumber: BBC

You must be logged in to post a comment Login