Terkini
Larang program libatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain tidak relevan – MUDA
Keputusan mengharamkan program yang membabitkan masyarakat Islam di rumah ibadat agama lain dikatakan tidak relevan.
- “Saya percaya bahawa ini adalah keputusan yang tidak relevan,” – Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long.
- Ia tidak sedikit pun membantu masyarakat berbilang agama dan bangsa untuk hidup harmoni.
- Larangan sebegini disifatkan membimbangkan untuk meraikan kerencaman rakyat berbilang bangsa.
- Rakyat sepatutnya diberikan ruang untuk bertukar fikiran dan pendapat soal agama, kepercayaan serta iman penganut masing-masing.
KUALA LUMPUR – Keputusan mengharamkan program yang membabitkan masyarakat Islam di rumah ibadat agama lain dikatakan tidak relevan.
Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata ia tidak sedikit pun membantu masyarakat berbilang agama dan bangsa untuk hidup harmoni.
“Saya percaya bahawa ini adalah keputusan yang tidak relevan dan MUDA sendiri banyak kali mengadakan program untuk semua ahli termasuklah sambutan Pongal, Hari Raya Aidiliftri, Maulidur Rasul, Hari Natal.
“Selain itu, membuka Thaneer Panthal untuk sambutan Thaipusam, Tahun Baru Cina. Ia disertai oleh semua ahli MUDA – tak kiralah Muslim atau bukan Muslim,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Luqman berkata ketika musim banjir terdapat beberapa ahli MUDA yang bukan beragama Islam datang membersihkan surau dan masjid di kawasan terjejas.
Justeru, katanya, larangan sebegini disifatkan membimbangkan untuk meraikan kerencaman rakyat berbilang bangsa.
“Adakah selepas ini orang bukan beragama Hindu tidak lagi boleh pergi ke Batu Caves? Atau rakan Kristian dan Buddha saya tidak lagi boleh melawat masjid? Bagaimana pula pemimpin negara yang dijemput untuk meraikan sambutan penganut agama lain? Adakah mereka juga akan dilarang masuk atau bagi pemimpin – ada syarat lain yang lebih longgar?,” soalnya.
Katanya, rakyat sepatutnya diberikan ruang untuk bertukar fikiran dan pendapat soal agama, kepercayaan serta iman penganut masing-masing.
“Asalkan semua ini berjalan dengan sivil, aman dan bersandarkan kepada prinsip Kesopanan dan Kesusilaan – bagi saya tidak ada masalah sedikit pun,” katanya.
Sebelum ini, program Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencetuskan kontroversi apabila poster slot Jom Ziarah Gereja yang akan dijalankan pada 18 Mac ini telah dialih keluar dari akaun Instagram.
Semakan The Merdeka Times mendapati poster lama tertera tulisan antara lain ‘TERBUKA KEPADA BELIA BUKAN KRISTIAN!’ sebelum poster baru dinaikkan.
Manakala komen utama (pinned comment) bagi hantaran kenyataan media Impact Malaysia semalam menyebut; “pendaftaran program Jom Ziarah ini hanya terbuka untuk peserta bukan-Muslim sahaja”.
Petang semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata peraturan telah menetapkan bahawa sebarang program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain selain masjid dan surau adalah dilarang sama sekali. – The Merdeka Times