Terkini
KPM enggan guna pendekatan saman ibu bapa pelajar keciciran
Kerajaan akan terus memberi advokasi terutama kepada golongan ibu bapa mengenai kepentingan setiap pelajar menamatkan sekolah menengah demi memastikan jumlah keciciran pelajar dapat dikurangkan.
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan melalui kementeriannya enggan mengambil pendekatan yang terlalu ‘keras’ seperti menyaman ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
- Katanya, KPM akan terus memberi kesedaran kepada ibu bapa dalam menjayakan usaha memastikan setiap pelajar mendapat tahap pendidikan yang sewajarnya.
- “Bagaimanapun implikasi undang-undang tetap akan ada tetapi apa yang kita nak buat sekarang ini adalah lebih kepada memberi kefahaman tentang pentingnya pendidikan itu dan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar.
- “Jadi dari semasa ke semasa KPM akan pastikan memberi peringatan dalam masa sama memastikan ibu bapa tiada isu untuk menghantar anak ke sekolah.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memberi advokasi terutama kepada golongan ibu bapa mengenai kepentingan setiap pelajar menamatkan sekolah menengah demi memastikan jumlah keciciran pelajar dapat dikurangkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan melalui kementeriannya enggan mengambil pendekatan yang terlalu ‘keras’ seperti menyaman ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memberi kesedaran kepada ibu bapa dalam menjayakan usaha memastikan setiap pelajar mendapat tahap pendidikan yang sewajarnya.
“Bagaimanapun implikasi undang-undang tetap akan ada tetapi apa yang kita nak buat sekarang ini adalah lebih kepada memberi kefahaman tentang pentingnya pendidikan itu dan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar.
“Ia juga bagi memastikan akses ke sekolah ini dapat kepada semua kanak-kanak. Jadi proses advokasi tentang pendidikan harus selari dengan kesedaran bersama ibu bapa.
“Jadi dari semasa ke semasa KPM akan pastikan memberi peringatan dalam masa sama memastikan ibu bapa tiada isu untuk menghantar anak ke sekolah.
“Apa yang penting anak-anak harus ke sekolah, itu tumpuan kita hari ini untuk memastikan mereka semua berada di dalam sistem kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Pek Kembali Ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (Lelaki), Jalan Raja Laut di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan bercadang untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah bagi memastikan tiada anak-anak yang tercicir selepas tamat sekolah rendah.
Draf cadangan mengenainya telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kerajaan sudah pun menyediakan pelbagai bantuan untuk golongan B40 yang mempunyai kekangan untuk menghantar anak mereka ke sekolah.
“Kita ada banyak bantuan untuk kanak-kanak yang tidak berkemampuan iaitu ada 18 inisiatif kewangan sebenarnya di bawah KPM. Jadi jika mereka tidak mampu, boleh memohon bantuan tersebut,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia