Terkini
Kebebasan berkarya bukan bermaksud mengenepikan agama – Mufti Pulau Pinang
Menikmati kebebasan bukan bermaksud mengenepikan batas agama, undang- undang dan nilai akhlak.

- Mufti Pulau Pinang berpendapat kebebasan berkarya bukan bermaksud pembikin filem perlu mengenepikan batas agama, undang, dan nilai akhlak.
- Perkara itu perlu diambil serius pembikin filem ketika menikmati kebebasan dalam berkarya, apatah jika karya mereka mempunyai unsur-unsur pemikiran liberal.
- “Saya sering memperingatkan golongan liberal bahawa kita adalah manusia yang dikurniakan akal fikiran oleh Allah SWT untuk memilih apa yang baik dan menghindari daripada apa yang buruk.
- “Kita bukan haiwan yang bertindak hanya menurut dorongan nafsu semata-mata. Bagi umat Islam mereka terikat dengan peraturan agama dalam segala tindak tanduk mereka di dalam kehidupan di dunia ini,” kata beliau ketika dihubungi The Merdeka Times semalam bagi mengulas isu filem kontroversi ‘Mentega Terbang’.
- Antara kandungan filem itu yang mencetuskan kritikan ialah terdapat unsur mempercayai kelahiran semula yang menjadi kepercayaan agama lain, seorang ayah menerima jika anaknya memilih untuk murtad dan seorang Islam membandingkan pengharaman babi dengan pengharaman daging lembu dalam ajaran Hindu.
KUALA LUMPUR – Menikmati kebebasan bukan bermaksud mengenepikan batas agama, undang- undang dan nilai akhlak.
Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat perkara itu perlu diambil serius pembikin filem ketika menikmati kebebasan dalam berkarya, apatah jika karya mereka mempunyai unsur-unsur pemikiran liberal.
“Saya sering memperingatkan golongan liberal bahawa kita adalah manusia yang dikurniakan akal fikiran oleh Allah SWT untuk memilih apa yang baik dan menghindari daripada apa yang buruk.
“Kita bukan haiwan yang bertindak hanya menurut dorongan nafsu semata-mata. Bagi umat Islam mereka terikat dengan peraturan agama dalam segala tindak tanduk mereka di dalam kehidupan di dunia ini,” kata beliau ketika dihubungi The Merdeka Times di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan yang seorang Islam perlu percaya kepada kehidupan akhirat, di mana setiap individu akan menerima nasib masing-masing berdasarkan apa dikerjakan di dunia ini.
Mengulas isu kontroversi filem Mentega Terbang yang dikritik kerana mempersenda agama, beliau meluahkan rasa kesal apabila seni seolah-olah disalah guna untuk menyesatkan penganut Islam.
“Ternyata seni perfileman di negara kita kini dipengaruhi aliran pemikiran liberal yang kehilangan sensitiviti terhadap kesakralan agama, terutama agama Islam yang sepatutnya dihormati sebagai Agama Negara.
“Bagi golongan berfikiran liberal, tiada apapun di dalam kehidupan ini yang perlu dihormati. Segala-galanya boleh dijadikan bahan permainan, diperkotak-katikkan, malah dihina dan dipersendakan semahunya,” katanya.
Beliau berkata karya seni sepatutnya berperanan membantu ke arah penanaman dan penyuburan nilai-murni.
“Memang ada sebahagian orang filem yang menganut aliran seni untuk seni. Golongan ini tidak peduli kepada kesan aktiviti seni yang dihasilkan terhadap kerosakan kepercayaan dan tingkah laku penonton.
“Yang mereka pentingkan adalah kepuasan rekayasa di samping keuntungan material yang diraih. Mereka lebih suka memperbesar kejadian-kejadian buruk yang berlaku di dalam masyarakat akibat kelemahan manusia biasa,” katanya.
Pandangan beliau juga senada dengan cadangan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman di Dewan Rakyat yang meminta Kementerian Komunikasi dan Digital mengharamkan filem itu.
Katanya, setiap warganegara terutama pemimpin dan pembuat dasar mesti bekerjasama memastikan elemen merosakkan agama dan tradisi ketimuran yang baik tidak dibiarkan.
“Ini termasuklah pembuatan filem dan aktiviti seni yang mempersenda keyakinan beragama rakyat pelbagai kaum di negara kita. Sebagai mufti sudah tentu saya turut bersama menentang sebarang produk kesenian yang mempersendakan agama saya dan agama-agama lain juga yang menjadi anutan rakyat Malaysia,” katanya.
Filem Mentega Terbang arahan Khairi Anwar mencetuskan kontroversi sejak ia mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu pada 19 Januari lalu selepas dua tahun ditayangkan secara terhad.
Ia mengisahkan tentang Aisyah berusia 16 tahun yang mengkaji kitab suci pelbagai agama untuk mencari jawapan mengenai kehidupan selepas mati.
Antara kandungannya yang mencetuskan kritikan ialah apabila terdapat unsur mempercayai kelahiran semula yang menjadi kepercayaan agama lain, seorang ayah yang menerima jika anaknya memilih untuk murtad dan seorang Islam yang membandingkan pengharaman babi dalam Islam dengan pengharaman daging lembu dalam ajaran Hindu. – The Merdeka Times
