Antarabangsa
Islamophobia kini menjangkau global, kumpulan Islam tuntut PBB perangi sentimen anti-Muslim
Gabungan berpuluh-puluh pertubuhan Islam dari beberapa negara menggesa masyarakat dunia meningkatkan usaha untuk memerangi sentimen anti-Muslim, lapor Middle East Eye.
- Gesaan itu dibuat ketika sambutan secara rasmi hari antarabangsa yang diadakan buat pertama kalinya oleh PB) untuk memerangi Islamofobia di mana ia berlangsung setiap tahun pada 15 Mac, memperingati tragedi penembakan masjid Christchurch pada 2019 di New Zealand, mengakibatkan 51 jemaah terkorban.
- “Kami menyeru kerajaan mengiktiraf Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia, mengutuk ketaksuban dan perkauman anti-Muslim, merungkai dasar dan undang-undang Islamofobia, dan memastikan semua rakyat mereka mendapat layanan yang adil di bawah undang-undang,” kata surat ditandatangani 15 organisasi di seluruh dunia bagi memerangi Islamofobia.
- Laporan 2021 oleh pelapor PBB mengenai kebebasan beragama menyimpulkan syak wasangka, diskriminasi dan kebencian terhadap umat Islam meningkat kepada “perkadaran wabak” dengan memetik Perancis dan India sebagai contoh.
Gabungan berpuluh-puluh pertubuhan Islam dari beberapa negara menggesa masyarakat dunia meningkatkan usaha untuk memerangi sentimen anti-Muslim, lapor Middle East Eye.
Gesaan itu dibuat ketika sambutan secara rasmi hari antarabangsa diadakan pertama kalinya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi Islamofobia di mana ia berlangsung setiap tahun pada 15 Mac, memperingati tragedi penembakan masjid Christchurch pada 2019 di New Zealand, mengakibatkan 51 jemaah terkorban.
Walaupun pemimpin agama dan organisasi bersyukur atas peringatan hari itu tapi mereka percaya usaha berterusan diperlukan kerana pakar mengatakan diskriminasi terhadap masyarakat Islam semakin meningkat di seluruh dunia.
Lima seruan menuntut tindakan dibuat menerusi surat ditandatangani 15 organisasi di seluruh dunia, termasuk Majlis Muslim Britain, Majlis Hubungan Amerika-Islam, Jawatankuasa Keadilan dan Kebebasan di Perancis, Asociacion Musulmana por los Derechos Humanos di Sepanyol dan Persekutuan Majlis Islam Australia.
“Kami menyeru kerajaan mengiktiraf Hari Antarabangsa untuk Memerangi Islamofobia, mengutuk ketaksuban dan perkauman anti-Muslim, merungkai dasar dan undang-undang Islamofobia, dan memastikan semua rakyat mereka mendapat layanan yang adil di bawah undang-undang.
“Kami tahu Islamofobia menjangkau dunia. Penembak Christchurch yang membunuh 51 lelaki, wanita dan kanak-kanak Islam di New Zealand pada 15 Mac empat tahun lalu hanyalah satu contoh ngeri bagaimana ekstremisme anti-Muslim berbahaya boleh menjadi,” kata surat itu.
Perhimpunan Agung PBB memutuskan pada tahun lalu untuk merayakan hari tersebut pada setiap tahun di mana resolusi itu disokong 55 negara majoriti Islam.
Ia juga ditaja bersama beberapa negara termasuk Rusia, yang melancarkan perang di Ukraine, dan China.
Bagaimanapun keputusan China untuk menaja bersama pada hari PBB terkait Islamofobia dikutuk aktivis Uyghur, yang bersama Amerika Syarikat, menuduh Beijing melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas minoriti Islam.
Sementara itu, Perancis dan India membantah penciptaan hari antarabangsa itu yang diiktiraf PBB untuk memerangi Islamofobia.
Laporan 2021 oleh pelapor PBB mengenai kebebasan beragama menyimpulkan syak wasangka, diskriminasi dan kebencian terhadap umat Islam meningkat kepada “perkadaran wabak” dengan memetik Perancis dan India sebagai contoh.
Sumber: Middle East Eye