Antarabangsa
Hamas beri amaran rejim Israel, henti aniaya tahanan Palestin
Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran kepada rejim haram Israel supaya tidak meneruskan penganiayaan kepada tahanan Palestin.
- Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Sheikh Saleh Arouri berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya Israel terus melakukan kekejaman terhadap tahanan.
- “Sebarang serangan ke atas nyawa tahanan akan mendapat tindak balas,” katanya.
- Kenyataan Salleh dibuat ketika tahanan Palestin meneruskan kempen ketidaktaatan di penjara untuk hari ke-29 bagi membantah langkah penindasan diperkenalkan Menteri Keselamatan Israel, Ben Gvir, awal bulan lalu.
TEBING BARAT, 22 Syaaban 1444H, Rabu – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) memberi amaran kepada rejim haram Israel supaya tidak meneruskan penganiayaan kepada tahanan Palestin.
Timbalan Ketua Biro Politik Hamas, Sheikh Saleh Arouri berkata, pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya Israel terus melakukan kekejaman terhadap tahanan.
“Sebarang serangan ke atas nyawa tahanan akan mendapat tindak balas,” katanya sambil menambah pembebasan tahanan Palestin adalah keutamaan Hamas.
Kenyataan Salleh dibuat ketika tahanan Palestin meneruskan kempen ketidaktaatan di penjara untuk hari ke-29 bagi membantah langkah penindasan yang diperkenalkan Menteri Keselamatan Israel, Ben Gvir, awal bulan lalu.
Penindasan yang diperkenalkan termasuklah menghadkan kuantiti air dan tempoh masa mandi kepada empat minit.
Rejim juga menghadknn masa lawatan keluarga kepada setengah jam sahaja bagi sebulan.
Lebih dahsyat, pihak penjara menempatkan kurungan sendirian dan pemindahan antara penjara.
Situasi tersebut menyebabkan tahanan bertindak dengan tidak keluar sel untuk pengiraan waktu pagi, selain membuat bising pada waktu malam serta menolak hidangan tertentu yang dihidangkan.
Jawatankuasa Kecemasan Badan Kepimpinan Bersatu Tahanan Palestin mengumumkan akan melakukan mogok lapar secara besar-besaran mulai 23 Mac sempena hari pertama Ramadan.
Jumaat lalu, wakil tiga kumpulan – Hamas, PIJ dan PFLP dalam sidang media di hadapan Pejabat Palang Merah di Gaza berkata, rundingan pihaknya dengan penjara Israel gagal mencapai kata sepakat. – Agensi
Sumber: Ismaweb