Antarabangsa
Diarah pulangkan gaji RM48,000 kerana merokok
Merokok bukan saja membunuh, malah amalan merokok itu juga dianggap sebagai aktiviti merugikan kepada kakitangan kerajaan di Osaka, Jepun.

- Seorang penjawat awam Jepun terpaksa menghabiskan gajinya bagi membayar denda berjumlah kira-kira 1.44 juta yen (kira-kira RM48,000) selepas didapati merokok di tempat kerja selama lebih 4,500 kali dalam tempoh 14 tahun.
- Hukuman itu dikenakan kepada pekerja Jabatan Kewangan berusia 61 tahun bersama dua lagi rakan sekerjanya.
- Mereka dikenakan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus selama enam bulan kerana merokok berulang kali pada waktu kerja, walaupun beberapa amaran diberikan.
Tokyo: Merokok bukan saja membunuh, malah amalan merokok itu juga dianggap sebagai aktiviti merugikan kepada kakitangan kerajaan di Osaka, Jepun.
Seorang penjawat awam Jepun terpaksa menghabiskan gajinya bagi membayar denda berjumlah kira-kira 1.44 juta yen (kira-kira RM48,000) selepas didapati merokok di tempat kerja selama lebih 4,500 kali dalam tempoh 14 tahun.
Hukuman itu dikenakan kepada pekerja Jabatan Kewangan berusia 61 tahun bersama dua lagi rakan sekerjanya pada Isnin.
Mereka dikenakan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus selama enam bulan kerana merokok berulang kali pada waktu kerja, walaupun beberapa amaran diberikan.
Ketiga-tiga mereka pertama kali disiasat pada September 2022 selepas pejabat sumber manusia menerima aduan mengenai salah laku mereka, lapor Mainichi Shimbun.
Mereka tidak mengendahkan amaran daripada penyelia, malah berbohong tidak merokok, semasa soal siasat susulan pada Disember lalu.
Suspek disifatkan melanggar Akta Perkhidmatan Awam Tempatan dan diminta memulangkan 1.44 juta yen daripada gaji sebagai tambahan kepada pengurangan gajinya.
Kerajaan wilayah itu mendapati dia menghabiskan 355 jam dan 19 minit untuk merokok sebanyak 4,512 kali ketika bertugas, sepanjang 14 tahun bekerja di jabatan itu.
Osaka mengenakan sekatan ketat terhadap merokok apabila memperkenalkan larangan sepenuhnya ke atas premis kerajaan seperti pejabat dan sekolah awam sejak 2008.
Susulan hukuman itu, pengguna media sosial memberi pelbagai reaksi termasuk mengakui perokok penjawat awam akan mengambil masa tambahan untuk keluar merokok.
Pada 2019, seorang guru sekolah menengah di Osaka turut dikenakan tindakan sama dengan pemotongan gaji sementara, selepas didapati merokok kira-kira 3,400 kali dan dia dikenakan satu juta yen (RM33,800) daripada gajinya.
Guru itu dipetik berkata, dia tidak boleh berhenti merokok walaupun tahu ia tingkah laku buruk.
Sumber: Harian Metro
