Terkini
Buku teks digital perlu berfasa, sediakan kemudahan pembelajaran – iGuru
Presidennya Mohd Azizee Hasan berkata KPM perlu bekerjasama dengan KKD untuk meningkatkan jalur lebar ke rangkaian 5G.
- Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata kerajaan perlu meningkatkan kualiti akses capaian internet dan jalur lebar terutama di kawasan yang berdepan masalah internet seperti di pedalaman dan luar bandar.
- Kementerian Pendidikan (KPM) perlu bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan jalur lebar ke rangkaian 5G.
- “Pada masa sama KPM perlu memastikan kemudahan pembelajaran digital seperti smart board, smart tv, laptop, smartphone, alat peranti disediakan secukupnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
KUALA LUMPUR – Penggunaan buku teks digital perlu dilakukan secara berfasa dengan mengambil kira status dan kedudukan sekolah kerana tidak semua sekolah berada di kawasan mempunyai akses internet baik.
Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kerajaan perlu meningkatkan kualiti akses capaian internet dan jalur lebar, terutama di kawasan berdepan masalah internet seperti di pedalaman dan luar bandar.
Katanya, KPM perlu bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan jalur lebar ke rangkaian 5G.
“Pada masa sama KPM perlu memastikan kemudahan pembelajaran digital seperti smart board, smart tv, laptop, smartphone, alat peranti disediakan secukupnya.
“Mana-mana sekolah yang menghadapi masalah boleh mengekalkan penggunaan buku teks fizikal bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan serta mengelakkan keciciran pendidikan.
“Guru-guru perlu diberikan latihan secukupnya bagi memastikan penggunaan buku teks digital berada di tahap optimum,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Mohd Azizee berkata pihaknya menyambut baik dan bersetuju dengan usaha KPM untuk mengurangkan beban berat guru melalui penggunaan buku teks digital.
Bagaimanapun, katanya, iGuru berharap usaha berkenaan tidak menyusahkan banyak pihak, khususnya ibubapa, murid dan pihak sekolah, terutama di pedalaman dan luar bandar.
The Merdeka Times, sebelum ini melaporkan KPM akan menukar bahan sistem pendidikan termasuk buku teks secara fizikal kepada digital di mana pelaksanaannya akan mengambil kira pemilikan peranti digital dalam kalangan semua murid dan ketersediaan capaian internet.
Bulan lalu, rata-rata guru mendedahkan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan peralatan sekolah dan pembelajaran seperti meja, printer, LCD, kerusi, kipas dan sebagainya. – The Merdeka Times
Sumber : Facebook Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia