Antarabangsa
Afghanistan: Dasar sekatan Taliban beri impak buruk
Dasar Taliban melarang wanita bekerja dan tidak membenarkan mereka keluar rumah tanpa ditemani mahram, memberi implikasi besar ke atas Afghanistan.

- Ini selepas statistik terbaharu dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan terdapat penurunan mendadak dalam kalangan pekerja wanita di negara itu.
- Pada suku keempat 2022, tenaga kerja wanita dianggarkan 25 peratus lebih rendah berbanding suku kedua tahun sebelumnya, manakala peratusan pekerja lelaki menurun tujuh peratus dalam tempoh sama.
- Sekatan ke atas golongan wanita beri kesan besar dalam sektor pendidikan dan pasaran buruh negara itu. – Penyelaras Kanan ILO di Afghanistan, Ramin Behzad
- Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan, ekonomi negara juga menurun menyebabkan hampir tiada peluang pekerjaan.
KABUL, 15 Syaaban 1444H, Rabu – Dasar Taliban melarang wanita bekerja dan tidak membenarkan mereka keluar rumah tanpa ditemani mahram, memberi implikasi besar ke atas Afghanistan.
Ini selepas statistik terbaharu yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan terdapat penurunan mendadak dalam kalangan pekerja wanita di negara itu.
Pada suku keempat 2022, tenaga kerja wanita dianggarkan 25 peratus lebih rendah berbanding suku kedua tahun sebelumnya, manakala peratusan pekerja lelaki juga menurun tujuh peratus dalam tempoh sama.
Penyelaras Kanan ILO di Afghanistan, Ramin Behzad dalam kenyataan berkata, sekatan ke atas golongan wanita memberi kesan besar dalam sektor pendidikan dan pasaran buruh negara itu.
Wanita Afghanistan bukan hanya dihalang menghadiri pengajian universiti, bahkan pelajar perempuan tidak dibenarkan ke sekolah dan pekerja NGO wanita pula dipaksa bekerja dari rumah.
Di sebalik kesan buruk dasar Taliban itu, wanita Afghanistan terus menonjolkan kemampuan mereka untuk bekerja.
“Sesetengah wanita berpindah ke aktiviti bekerja sendiri, seperti bertani atau menjahit pakaian, sekali gus menyumbang kepada pendapatan isi rumah,” menurut laporan ILO.
Sejak Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan, ekonomi negara juga menurun menyebabkan hampir tiada peluang pekerjaan.
Berikutan pengambilalihan itu, kerajaan asing membuat keputusan menarik balik bantuan pembangunan, selain membekukan aset bank pusat negara.
Menurut anggaran ILO, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Afghanistan telah menguncup sebanyak 30 hingga 35 peratus sepanjang 2021 dan 2022. – Agensi
Sumber: Ismaweb
