Ekonomi
Turunkan harga bahan mentah, bukan boikot kedai makan atau restoran – PRMK
Kerajaan sepatutnya menurunkan harga bahan mentah seperti minyak masak, ayam, daging, sayur dan sebagainya sebelum mengajak rakyat untuk memboikot kedai makan atau restoran yang menjual makanan mahal.

- Pengerusi Persatuan Restoran Melayu Kelantan (PRMK), Nik Hassan Mohd Zain berkata, tindakan bersifat politik itu tidak sesuai di saat industri berdepan ‘tekanan’ harga bahan mentah yang tinggi ketika ini.
- “Macam mana harga nak turun sedangkan bahan mentah semakin hari semakin naik.”
- PRMK berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian segera dalam membantu meredakan tekanan yang dialami oleh pemain industri.
- Selain peningkatan kos pengurusan melibatkan sewa, pengangkutan dan lain mereka turut berdepan dengan pelaksanaan gaji minimum.
- “Jadi bantulah kami dengan turun dan kawal harga barang, bukan ajak rakyat memboikot,” katanya.
KOTA BHARU – Kerajaan sepatutnya menurunkan harga bahan mentah seperti minyak masak, ayam, daging, sayur dan sebagainya sebelum mengajak rakyat untuk memboikot kedai makan atau restoran yang menjual makanan mahal.
Pengerusi Persatuan Restoran Melayu Kelantan (PRMK), Nik Hassan Mohd Zain berkata, tindakan bersifat politik itu dilihat tidak sesuai di saat pemain industri berdepan dengan ‘tekanan’ harga bahan mentah yang tinggi ketika ini.
“Macam mana harga nak turun sedangkan bahan mentah semakin hari semakin naik. Kami pemain industri sudah berdepan pelbagai ‘tekanan’ untuk berhadapan dengan peningkatan kos ketika ini.
“Sudahlah begitu, kesan ‘serangan’ pandemik Covid-19 lalu masih lagi dirasai sehingga hari ini. Situasi ini menyaksikan kami memerlukan masa untuk bangkit semula,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurut beliau, PRMK berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian segera dalam membantu meredakan tekanan yang dialami oleh pemain industri.
Ujarnya, selain peningkatan kos pengurusan melibatkan sewa, pengangkutan dan lain mereka turut berdepan dengan pelaksanaan gaji minimum.
Nik Hassan memberitahu, keadaan ekonomi yang masih belum pulih akibat Covid-19 memberikan kesukaran kepada mereka untuk melaksanakan arahan kerajaan itu.
“Jadi bantulah kami dengan turun dan kawal harga barang, bukan ajak rakyat memboikot,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
