Terkini
Suhakam harap tiada lagi kanak-kanak di depot imigresen
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap tiada lagi kanak-kanak akan ditempatkan di pusat tahanan atau depot imigresen selepas ini.

- Selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bahawa pihaknya dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depot tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.
- “Suhakam berharap dengan pengumuman ini, pihak penguatkuasa akan memastikan bahawa kanak-kanak tidak akan ditempatkan di depot imigresen lagi selepas ini,” – Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad.
- “Suhakam juga berharap kerajaan akan terus konsisten dalam menegakkan kesejahteraan kanak-kanak tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap tiada lagi kanak-kanak akan ditempatkan di pusat tahanan atau depot imigresen selepas ini.
Ini selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution bahawa pihaknya dalam usaha membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.
Sebaliknya, menurut beliau, mereka akan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus dalam penjagaan kanak-kanak.
“Keputusan itu selaras dengan saranan Suhakam kepada kerajaan untuk melaksanakan Alternatif kepada Tahanan (ATD) bagi kanak-kanak di depot imigresen.
“Suhakam berharap dengan pengumuman ini, pihak penguatkuasa akan memastikan bahawa kanak-kanak tidak akan ditempatkan di depot imigresen lagi selepas ini,” Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, dia berkata terpelihara adalah amat penting untuk kanak-kanak berkenaan tidak mengalami trauma atau menghadapi bahaya semasa proses pemindahan.
Sebagai penandatangan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak, Rahmat berkata, Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan penahanan kanak-kanak adalah sebagai langkah terakhir, terutamanya apabila mereka ditahan bersama ibu bapa atau penjaga mereka kerana kesalahan imigresen.
Suhakam juga, katanya secara konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai penahanan kanak-kanak di depot tahanan imigresen, di mana pihak berkuasa perlu memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu terpelihara.
“Suhakam akan terus memantau pelaksanaan ATD serta menyokong hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.
“Suhakam juga berharap kerajaan akan terus konsisten dalam menegakkan kesejahteraan kanak-kanak tanpa mengira status imigresen mereka,” katanya.
Pada 15 Feb lalu, Saifuddin mengumumkan bahawa kementeriannya akan memindahkan kanak-kanak yang ditahan di depoh imigresen dan menempatkan mereka di bawah jagaan NGO yang pakar dalam kebajikan kanak-kanak.
Sumber: Malaysia Kini
