Connect with us

Terkini

Pakej Jalur Lebar RM69 langkah terbaik kurangkan kos sara hidup rakyat

Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap merupakan inisiatif permulaan yang baik bagi menurunkan kos sara hidup pengguna Internet secara bersasar, kata Naib Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (COVAS) Philip Ng.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Pakej Jalur Lebar RM69 langkah terbaik kurangkan kos sara hidup rakyat
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Naib Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (COVAS) Philip Ng berkata pakej jalur lebar serendah RM69 sebulan itu, berpatutan dan beri peluang kepada golongan rentan mahu melanggan pakej Internet pada harga lebih murah lebih-lebih lagi dalam situasi kenaikan harga barang dihadapi rakyat kini.
  • “Ia memberi kesan positif kepada keluarga B40 yang mahu mencari pakej lebih mampu milik memandangkan Internet ialah keperluan masa kini. Ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kepentingan penglibatan B40 dalam dunia digital”.
  • Kerajaan perlu melaksanakan inisiatif meningkat rangkaian Internet khususnya di Sarawak bagi memastikan pakej berkenaan boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat. – Philip Ng

KUCHING, 2 Feb (Bernama) — Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap merupakan inisiatif permulaan yang baik bagi menurunkan kos sara hidup pengguna Internet secara bersasar, kata Naib Presiden Persatuan Suara Konsumer Sarawak (COVAS) Philip Ng.

Beliau berkata pakej jalur lebar serendah RM69 sebulan itu, dilihat berpatutan dan memberi peluang kepada golongan rentan yang mahu melanggan pakej Internet pada harga lebih murah lebih-lebih lagi dalam situasi kenaikan harga barang dihadapi rakyat kini.

“Ia memberi kesan positif kepada keluarga B40 yang mahu mencari pakej lebih mampu milik memandangkan Internet ialah keperluan masa kini. Ini menunjukkan kerajaan prihatin terhadap kepentingan penglibatan B40 dalam dunia digital,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, Ng berkata kerajaan juga perlu melaksanakan inisiatif untuk meningkat rangkaian Internet khususnya di Sarawak bagi memastikan pakej berkenaan boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat. 

Sementara itu, suri rumah, Georgia Seli, 53, berkata pakej yang ditawarkan itu cukup menarik, justeru beliau akan mempertimbangkan untuk membuat sambungan jalur lebar di rumah bagi kegunaan seisi keluarga.

Katanya buat masa ini tiada sebarang perkhidmatan jalur lebar di rumahnya kerana kurang berkemampuan selain perlu berjimat kerana dua anaknya  masih bersekolah.

“Bayaran bulanan langganan Internet untuk saya, suami dan dua anak pun sudah mencecah RM300. Syukur kini ada pakej yang sedemikian, jadi bagi kami yang berpendapatan rendah boleh membuat pilihan dengan lebih bijak serta berjimat,” katanya.

Pelajar universiti, Irene Phang Wan Tin, 20, pula berkata sekiranya kedua-dua ibu bapanya melanggan pakej tersebut, akan memudahkan beliau menghubungi mereka menerusi panggilan Internet pada bila-bila masa tanpa perlu risau cas bulanan yang mahal dan data tanpa had. 

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan mengumumkan pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap itu yang disasarkan bagi membantu golongan B40, veteran, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas menerusi harga yang lebih rendah.

Pakej itu menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan hingga 30 Mbps bersama data tanpa had pada harga RM69 sebulan dan mula ditawarkan pada Mac ini dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

Fahmi berkata pakej berkenaan adalah dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.

— BERNAMA

Sumber: Bernama 

 

 

Author